Tahun 2024 paling panas dalam sejarah

Tahun 2024 paling panas dalam sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Tahun ini hampir pasti akan mengatasi 2023 sebagai tahun paling panas sejak suhu global mula direkodkan, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S) Kesatuan Eropah.

Data itu dikeluarkan menjelang sidang kemuncak iklim PBB COP29 di Azerbaijan minggu depan, di mana negara-negara akan cuba mencapai persetujuan bagi meningkatkan pembiayaan untuk menangani perubahan iklim.

C3S melaporkan dari Januari hingga Oktober, suhu purata global telah mencapai tahap yang begitu tinggi sehingga 2024 hampir pasti menjadi tahun terpanas dalam sejarah kecuali jika anomali suhu menjunam mendekati sifar bagi baki tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Punca asas rekod tahun ini adalah perubahan iklim.

“Iklim sedang memanas, secara keseluruhan. Ia berlaku di semua benua, di semua lembangan lautan. Maka, kita sememangnya akan menyaksikan rekod-rekod ini dipecahkan,” kata Pengarah C3S, Carlo Buontempo.

Para saintis juga menyatakan 2024 akan menjadi tahun pertama dunia mencapai tahap pemanasan lebih daripada 1.5 darjah Celsius berbanding era pra-industri apabila manusia mula menggunakan bahan api fosil secara besar-besaran.

Negara-negara telah bersetuju dalam Perjanjian Paris pada 2015 untuk cuba mencegah pemanasan global daripada melebihi 1.5 darjah Celsius bagi mengelakkan kesan terburuk.

Walaupun dunia masih belum melepasi sasaran itu yang merujuk kepada suhu purata global dalam tempoh dekad, C3S kini menjangkakan dunia akan melepasi sasaran Perjanjian Paris sekitar tahun 2030.

Setiap peningkatan suhu menyumbang kepada kejadian cuaca ekstrem seperti banjir kilat dahsyat mengorbankan ratusan nyawa di Sepanyol, kebakaran hutan besar melanda Peru dan banjir di Bangladesh yang memusnahkan lebih satu juta tan beras hingga menyebabkan harga makanan melonjak.

Rekod C3S bermula pada tahun 1940 dan disemak silang dengan rekod suhu global sejak 1850. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN