MOSCOW: Amerika Syarikat (AS) buat pertama kali membenarkan Ukraine menggunakan peluru berpandu jarak jauh untuk menyerang sasaran di dalam Russia.
Pentadbiran Joe Biden memberitahu Kyiv ia boleh menggunakan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) buatan AS untuk serangan terhad di dalam Russia.
Sebelum ini, Washington enggan membenarkan serangan demikian kerana bimbang ia akan meningkatkan lagi peperangan.
Namun, perubahan dasar besar itu berlaku dua bulan sebelum Biden menyerahkan kuasa kepada Donald Trump, yang meragui bantuan ketenteraan AS kepada Ukraine.
KELEBIHAN UNTUK UKRAINE
Kyiv menggunakan ATACMS untuk menyerang sasaran Russia di wilayah yang diduduki di Ukraine selama lebih setahun.
Ia menggunakan ATACMS untuk menyerang pangkalan udara di Semenanjung Crimea dan kedudukan tentera di wilayah Zaporizhzhia.
Tetapi, AS tidak pernah membenarkan Kyiv menggunakan peluru berpandu jarak jauh tersebut di dalam Russia, sehingga kini.
Peluru berpandu balistik Lockheed Martin adalah yang paling kuat pernah disediakan untuk Ukraine, dengan kemampuan bergerak sehingga 300 kilometer.
Ukraine menganggap larangan menggunakan senjata seperti itu di dalam Russia umpama diminta berperang dengan sebelah tangan terikat di belakang.
Perubahan dasar itu dilaporkan berlaku sebagai tindak balas kepada penempatan Korea Utara baru-baru ini, untuk menyokong Russia di wilayah sempadan Kursk, di mana Ukraine menguasai wilayah tersebut sejak Ogos.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky belum mengesahkan langkah tersebut, namun kenyataannya pada Ahad memberi bayangan mengenai tindakan itu.
“Serangan tidak dilakukan dengan kata-kata. Peluru berpandu akan bercakap untuk diri mereka sendiri,” katanya.
Ukraine kini diberi ‘lampu hijau’ untuk menyerang sasaran di dalam Russia, kemungkinan besar di sekitar Kursk, di mana ia menguasai lebih 1,000 kilometer persegi wilayah itu.
Pegawai AS mendakwa, Kyiv akan dapat menggunakan ATACMS untuk mempertahankan diri daripada serangan balas yang dijangka oleh tentera Russia dan Korea Utara, dengan tujuan merampas semula wilayah.
Tentera Ukraine dijangka dapat menyerang kedudukan Russia di Kursk, termasuk pasukan, logistik, infrastruktur dan penyimpanan peluru.
Namun, bekalan ATACMS mungkin tidak mencukupi untuk mengubah haluan perang.
Peralatan ketenteraan Russia, seperti pesawat pejuang, dipindahkan ke lapangan terbang lebih jauh di dalam negara itu sebagai persediaan menghadapi ancaman berkenaan.
Bagaimanapun, senjata itu mungkin memberikan kelebihan kepada Ukraine ketika Russia sudah menguasai lebih banyak wilayah di timur negara.
PENINGKATAN KONFLIK
Beberapa ahli Parlimen Russia menyifatkan keputusan Washington membenarkan Kyiv melancarkan serangan ke dalam Russia dengan ATACMS, berisiko meningkatkan konflik di Ukraine dan mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
Ahli Parlimen Russia, Andrei Klishas menegaskan, tindakan AS itu hanya mengancam kepada kehancuran negara Ukraine.
“Barat memutuskan tahap peningkatan sedemikian yang boleh berakhir dengan kehancuran negara Ukraine,” kata ahli kanan Majlis Persekutuan itu dalam aplikasi Telegram.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Dewan Tertinggi Russia, Vladimir Dzhabarov berkata, Moscow akan segera bertindak balas dengan keputusan itu.
“Ini adalah langkah yang sangat besar menuju permulaan Perang Dunia Ketiga,” katanya seperti dilapor agensi berita TASS.
September lalu, Presiden Vladimir Putin menegaskan Barat akan memerangi Russia secara langsung jika ia membenarkan Ukraine menyerang wilayahnya dengan peluru berpandu jarak jauh buatan AS, satu langkah yang menurutnya mengubah sifat dan skala konflik tersebut.
Russia dijangka terpaksa mengambil langkah yang disebut Putin sebagai ‘keputusan sesuai’ berdasarkan ancaman baharu itu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Rakyat Duma Negeri, Leonid Slutsky berkata, kebenaran AS untuk Kyiv melancarkan serangan ke Russia menggunakan peluru berpandu taktikal ATACMS akan membawa kepada tindak balas lebih tegas.
“Serangan peluru berpandu buatan AS ke dalam Russia pasti akan melibatkan peningkatan serius, yang mengancam kepada kesan lebih besar,” katanya.- REUTERS/AGENSI











