ISLAMABAD: Parti bekas Perdana Menteri Pakistan yang dipenjarakan, Imran Khan, mengumumkan penamatan protes selepas pihak berkuasa melancarkan operasi besar-besaran untuk menyuraikan penyokongnya yang menyerbu Islamabad, bagi menuntut pembebasannya.
Jurucakap Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), Sheikh Waqas Akram dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan untuk menamatkan protes dibuat susulan tindakan keras polis yang mengakibatkan kematian beberapa penyokongnya.
“Di bawah arahan rejim pencuri mandat, berpuluh-puluh anggota PTI yang tidak bersalah ditembak mati oleh senjata kerajaan, dan setakat ini, lapan kematian telah disahkan,” katanya.
Akram turut memaklumkan Ketua Menteri Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Ali Amin Gandapur dan isteri Imran Khan, Bushra Bibi, berada dalam keadaan selamat.
Pasukan keselamatan Pakistan melancarkan operasi lewat malam tadi untuk menyuraikan penyokong Imran yang menyerbu beberapa lokasi strategik di Islamabad.
Rakaman yang disiarkan di pelbagai saluran tempatan menunjukkan ratusan penunjuk perasaan melarikan diri dalam keadaan panik ketika polis rusuhan dan pasukan separa tentera mengejar mereka sambil melepaskan gas pemedih mata.
Sebahagian besar penunjuk perasaan dilihat meninggalkan ibu negara, namun tidak dapat dipastikan sama ada mereka akan kembali.
Polis menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk mengawal semula beberapa kawasan, termasuk D-Chowk, dataran utama yang menjadi lokasi berkumpul penunjuk perasaan.
Polis memaklumkan terdapat lebih 450 penunjuk perasaan yang telah ditahan di Islamabad.
Pihak polis memaklumkan operasi akan diteruskan kerana ratusan lagi penyokong PTI masih bersembunyi di Islamabad. -AGENSI










