LONDON: United Kingdom (UK) menyaksikan peningkatan Islamofobia yang berisiko mencetuskan perpecahan serius dan kemungkinan rusuhan kaum jika punca utamanya gagal ditangani.
Perkara itu ditegaskan Ketua Eksekutif kumpulan pemikir Runnymede Trust, Shabna Begum menerusi temu bual eksklusif dengan akhbar The Guardian.
“Cara ahli politik bercakap tentang umat Islam sekarang sangat menghina, ia menggunakan istilah yang memecahbelahkan,” katanya.
Merujuk kepada rusuhan musim panas lalu, Begum memberi amaran keganasan seperti itu mungkin akan berulang jika tiada sebarang perubahan dibuat.
“Keganasan itu adalah gambaran paling buruk tentang perkauman yang dihasilkan melalui perbualan politik dan media.
“Jika kita tidak melakukan sesuatu yang berbeza, keburukan itu akan menjadi ciri biasa dalam politik kita,” katanya.
Begum menegaskan, isu itu bukan sekadar serangan fizikal, tetapi juga melibatkan Islamofobia ditaja oleh negara yang tertanam dalam dasar dan naratif.
Beliau turut menyalahkan Parti Buruh dan Konservatif kerana menyemarakkan suasana permusuhan terhadap masyarakat Islam di UK.
“Apabila kami menyertai perarakan protes seperti orang lain, kami dianggap sebagai pelampau Islamis dan pembenci.
“Apabila kami menggunakan undi untuk menyatakan pilihan politik, kami digambarkan sebagai berpuak-puak dan pemecah belah,” katanya.
Laporan Runnymede Trust mengenai Islamofobia, yang dilancarkan dengan sokongan daripada Sayeeda Warsi, Amnesty International UK dan Majlis Muslim Britain, mendokumenkan peningkatan permusuhan yang dihadapi oleh umat Islam UK.
Laporan itu memetik dapatan Tell Mama yang menunjukkan peningkatan 335 peratus dalam insiden kebencian untuk tempoh empat bulan hingga Februari 2024, dengan wanita menjadi mangsa secara tidak seimbang.
Data polis menunjukkan hampir 38 peratus jenayah kebencian agama menyasarkan umat Islam, manakala jenayah kebencian antiagama mencapai rekod tertinggi tahun lalu, seiring konflik Israel-Gaza yang bermula 7 Oktober tahun lepas.











