Pencemaran udara kritikal landa Punjab, sekolah diarah ditutup

Pencemaran udara kritikal landa Punjab, sekolah diarah ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHORE: Semua sekolah di wilayah terpadat di Pakistan yang terjejas teruk akibat jerebu diarah tutup dan sesi pembelajaran dialihkan secara dalam talian sehingga 17 November, ketika negara itu berdepan pencemaran udara yang mencatatkan rekod tertinggi.

Wilayah Punjab yang menempatkan lebih separuh daripada 240 juta penduduk Pakistan, sebelum ini telah menutup sekolah rendah, mengehadkan penggunaan tuk-tuk dan menutup beberapa restoran barbeku di bandar besar Lahore.

Semalam, kerajaan mengarahkan semua sekolah menengah atas ditutup di beberapa bandar utama yang diselubungi jerebu, asap diesel berkualiti rendah, pembakaran sisa pertanian bermusim dan suhu dingin musim sejuk.

“Melihat kepada jangkaan kualiti angin dan indeks kualiti udara, kami menutup semua sekolah menengah atas,” kata Marriyum Aurangzeb, seorang menteri kanan di Punjab, dalam satu sidang akhbar di Lahore.

Aurangzeb turut berkata, indeks kualiti udara (AQI), yang mengukur pelbagai jenis pencemar, melonjak melebihi 1,000, jauh melebihi paras 300 yang dianggap berbahaya berdasarkan data daripada IQAir.

“Saya merayu kepada rakyat jangan keluar dari rumah anda,” kata Aurangzeb sambil menambah pemakaian pelitup muka diwajibkan di bandar-bandar terjejas.

Beliau turut mengumumkan separuh daripada kakitangan di pejabat awam dan swasta akan bekerja dari rumah.

Bandar-bandar lain yang terjejas termasuk Faisalabad, bandar ketiga terbesar di Pakistan, serta Multan dan Gujranwala.

Keputusan ini menyusul selepas pengumuman bulan lalu oleh agensi perlindungan alam sekitar wilayah mengenai sekatan baru di empat kawasan panas di Lahore.

Pencemaran yang melebihi tahap selamat oleh WHO memendekkan jangka hayat penduduk Lahore secara purata sebanyak 7.5 tahun, menurut Institut Dasar Tenaga Universiti Chicago.

Menurut UNICEF, hampir 600 juta kanak-kanak di Asia Selatan terdedah kepada tahap pencemaran udara yang tinggi dan separuh daripada kematian kanak-kanak akibat pneumonia dikaitkan dengan pencemaran udara. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×