PARIS: Selepas 10 minggu, perbicaraan rogol beramai-ramai yang menggemparkan Perancis beralih ke fasa akhir kenyataan penutup.
Kes itu tertumpu kepada pasangan yang pernah berkahwin, Dominique dan Gisele Pelicot, pesara yang kini berusia awal 70-an.
Pasukan undang-undang Gisele akan memberikan kenyataan akhir mereka Selasa ini disusuli pihak pembelaan menjelang keputusan daripada panel lima hakim yang dijangka pada 20 Disember.
Dominique Pelicot menjalani perbicaraan dengan 50 lelaki lain di bandar selatan Avignon pada September.
Setiap bab dalam kes itu menerima publisiti meluas kerana Gisele menjadikan keseluruhan perbicaraan terbuka kepada media dan orang ramai.
Pada November 2020, Dominique mengaku memberi dadah kepada isterinya selama hampir sedekad dan merekrut berpuluh-puluh lelaki dalam talian untuk merogol wanita itu di rumah mereka ketika dia tidak sedarkan diri.
Polis menjejaki tertuduh melalui beribu-ribu video yang mereka temui pada komputer riba Dominique dan pasukan penyiasat mempunyai bukti kira-kira 200 insiden rogol yang dilakukan antara 2011 dan 2020 terhadap Gisele.
Majoriti defendan menafikan tuduhan merogol dengan alasan mereka tidak boleh didakwa kerana tidak menyedari yang Gisele tidak sedarkan diri dan oleh itu tidak tahu mereka telah merogolnya.
Barisan pertahanan itu mencetuskan perbincangan meluas tentang sama ada persetujuan perlu ditambah kepada definisi undang-undang Perancis tentang rogol, yang kini ditakrifkan sebagai sebarang tindakan penetrasi seksual yang dilakukan terhadap orang lain melalui keganasan, kekangan, ancaman atau kejutan.
Perbicaraan itu juga memberi penerangan tentang isu pemberian bahan kimia dan serangan seksual yang disebabkan oleh dadah.-AGENSI











