WASHINGTON: Pihak berkuasa dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat mesej teks berbaur perkauman yang dihantar kepada warga kulit hitam Amerika Syarikat (AS) di seluruh negara.
Warga kulit hitam AS, termasuk pelajar sekolah dan kolej adalah antara penerima teks itu yang dilaporkan dihantar daripada nombor dengan kod kawasan di sekurang-kurangnya 25 negeri berbeza termasuk Alabama, North Carolina, Virginia, New York dan Pennsylvania.
“FBI menyedari mesej teks yang menyinggung perasaan dan perkauman dihantar kepada individu di seluruh negara dan sedang berhubung dengan Jabatan Kehakiman serta pihak berkuasa persekutuan lain mengenai perkara ini,” kata agensi itu.
Mesej itu dilaporkan mula dihantar pada hari Rabu, sehari selepas pengundian pilihan raya.
Ayat mesej itu berbeza-beza tetapi secara amnya mengarahkan penerima untuk melapor diri di ladang atau menunggu untuk diambil dalam van, merujuk kepada buruh hamba.
Beberapa mesej menyebut kempen Trump yang menafikan sekeras-kerasnya sebarang kaitan dengan kes itu.
TextNow, penyedia mudah alih yang membenarkan orang ramai mencipta nombor telefon secara percuma berkata, pihaknya mendapati satu atau lebih akaunnya digunakan untuk menghantar mesej teks itu yang melanggar syarat perkhidmatannya.
Syarikat itu melumpuhkan akaun dalam masa sejam selepas mengetahui penyalahgunaan itu.-AGENSI










