MADRID: Ribuan penduduk di wilayah Costa del Sol, selatan Sepanyol, terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka selepas hujan lebat dan banjir besar melanda kawasan itu.
Pejabat Cuaca Kebangsaan Sepanyol (Aemet) mengeluarkan amaran tertinggi bagi wilayah Malaga dan Catalonia di timur laut yang dijangka terus dilanda hujan lebat sehingga Jumaat.
Kawasan Malaga, termasuk destinasi pelancongan popular seperti Marbella, Velez dan Estepona, dijangka menerima kesan teruk daripada fenomena cuaca ekstrem yang dikenali sebagai ‘Dana’.
Beberapa bahagian di wilayah timur Valencia turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tertinggi, hanya beberapa minggu selepas kawasan itu dilanda banjir kilat yang mengorbankan lebih 220 nyawa.
Beberapa wilayah lain di Sepanyol juga kini bersiap sedia menghadapi hujan lebat dan suhu rendah di mana ramalan cuaca menunjukkan sehingga 180 milimeter hujan boleh turun dalam tempoh 12 jam di Catalonia, dengan ribut petir di sepanjang pantai berhampiran Tarragona.
Akibat situasi tersebut, semua sekolah di wilayah Malaga ditutup, manakala banyak pasar raya mengambil langkah menutup premis.
Rakaman di media sosial menunjukkan kawasan-kawasan yang biasanya sibuk di bandar itu lengang apabila air membanjiri jalan-jalan.
Amaran cuaca buruk di Malaga turut menyebabkan penangguhan perlawanan pembukaan Billie Jean King Cup antara Sepanyol dan Poland yang dijadualkan berlangsung pada hari Rabu, menurut Persekutuan Tenis Antarabangsa.
Fenomena cuaca Dana terjadi apabila tekanan rendah ‘terpisah’ dari aliran utama di mana keadaan ini menyebabkan hujan berlarutan apabila udara sejuk di atmosfera bertemu udara panas dari Laut Mediterranean.
Pada hari pertama Sidang Kemuncak Iklim COP29, Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Celeste Saulo berkata, banjir baru-baru ini di Sepanyol adalah mesej kuat kepada dunia mengenai kesan iklim.
“Jumlah hujan luar biasa di Sepanyol adalah amaran tentang berapa banyak air tambahan yang boleh disimpan oleh atmosfera yang lebih panas,” katanya. -AGENSI











