KAHERAH: Tentera Israel mengebom sekurang-kurangnya lima bangunan kediaman yang penuh sesak di utara Gaza ketika rejim meningkatkan pencerobohan di sepanjang pinggir utara wilayah itu.
Operasi menyelamat sedang dijalankan kerana ramai yang masih hilang atau terperangkap di bawah runtuhan, lapor pegawai perubatan.
Media Hamas meletakkan jumlah kematian sebanyak 57 orang tetapi tiada angka rasmi daripada kementerian kesihatan Gaza.
Terdahulu pada hari Rabu, pegawai kesihatan Gaza berkata, serangan tentera Israel di seluruh wilayah itu membunuh sekurang-kurangnya 48 orang.
Pakar perubatan berkata, insiden itu termasuk serangan ke atas rumah dan sekolah yang melindungi orang yang kehilangan tempat tinggal di tengah Gaza, pengeboman sebuah hospital di utara dan serangan udara di zon kemanusiaan Al-Mawasi dan Rafah di selatan Gaza.
Pegawai Palestin dan PBB berkata, tiada lagi tempat di wilayah itu yang boleh dikategorikan selamat.
Pengarah Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, Hussam Abu Safiya berkata, semua jabatan hospital itu diletupkan tanpa amaran, ketika doktor cuba menyelamatkan mangsa yang cedera dalam unit rawatan rapi.
“Susulan penahanan 45 anggota kakitangan perubatan dan pembedahan serta sekatan kemasukan pasukan pengganti, kami kini kehilangan pesakit yang cedera setiap hari yang sepatutnya boleh terselamat jika sumber tersedia.
“Malangnya, makanan dan air juga tidak dibenarkan masuk, malah satu ambulans pun tidak dibenarkan masuk ke utara,” katanya kepada Reuters melalui mesej teks.
Operasi Israel di Gaza tertumpu selama berminggu-minggu di pinggir utara wilayah itu, di mana tentera telah mengepung tiga bandar utama dan mengarahkan penduduk melarikan diri.
Penduduk di Jabalia, Beit Lahiya dan Beit Hanoun berkata, tentera Israel telah meletupkan berpuluh-puluh rumah.
Penduduk Palestin turut melihat Israel bertekad mengusir semua penduduk kawasan itu secara kekal untuk mewujudkan zon penampan di sepanjang pinggir utara Gaza, yang dinafikan tentera rejim.
Di pinggir bandar Sabra di Gaza City, perkhidmatan kecemasan awam Palestin berkata, serangan udara Israel menyasarkan salah satu pasukannya semasa operasi menyelamat, membunuh seorang kakitangan dan mencederakan tiga yang lain.
Kematian di Sabra meningkatkan jumlah anggota perkhidmatan kecemasan awam yang terbunuh sejak 13 bulan lalu kepada 87 orang.
Bercakap semasa lawatan ke Gaza pada Selasa, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Hamas tidak akan memerintah wilayah Palestin selepas perang tamat, mendakwa rejimnya telah memusnahkan keupayaan ketenteraan kumpulan Islam itu.
Netanyahu juga berkata, Israel tidak berputus asa untuk mencari 101 tebusan yang dipercayai masih berada dalam wilayah itu, malah menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM22 juta) untuk pemulangan setiap seorang.
Hamas mahu perjanjian yang menamatkan perang, manakala Netanyahu telah berikrar perang boleh berakhir hanya apabila Hamas dihapuskan. – REUTERS










