GAZA: Kumpulan Hamas mengumumkan serangan roket ke atas Tel Aviv sebagai tindak balas terhadap pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas orang awam dan pengusiran penduduk Palestin.
Serangan tersebut berlaku bertepatan dengan ulang tahun pertama operasi taufan Al-Aqsa, yang dilancarkan oleh kumpulan-kumpulan pejuang Palestin pada 7 Oktober 2023.
Ini merupakan kali pertama Briged Al-Qassam menyasarkan Tel Aviv sejak melancarkan dua roket M90 ke arah bandar itu dan kawasan pinggirannya pada 13 Ogos lalu.
Menurut pihak Berkuasa Penyiaran Israel, roket yang dilancarkan dari Gaza menyasarkan kawasan Tel Aviv dan tengah Israel, menyebabkan siren amaran dibunyikan di dua lokasi tersebut.
Radio Tentera Israel pula melaporkan lima roket dilancarkan ke arah Tel Aviv dari wilayah Khan Younis di selatan Gaza.
Dua penduduk Israel cedera akibat serpihan roket yang jatuh di Holon, selatan Tel Aviv, menurut perkhidmatan ambulans Israel yang mengesahkan kecederaan ringan akibat tembakan roket tersebut.
Serangan itu juga menyebabkan pendaratan di Lapangan Terbang Ben Gurion terganggu buat sementara waktu.
Media Israel melaporkan tentera gagal mencegah serangan roket tersebut, meskipun telah menjangkakan serangan dari Gaza, menunjukkan bahawa keupayaan Hamas untuk mengawal serangan masih utuh.
Sementara itu, akhbar Yedioth Ahronoth melaporkan serangan roket dari Khan Younis menunjukkan Hamas telah memulihkan keupayaan mereka, walaupun operasi ketenteraan Israel di wilayah tersebut sudah tamat.
Meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera, Israel terus mendapat kecaman antarabangsa kerana masih meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza. – AGENSI









