WASHINGTON: Russia awal tahun ini menyediakan data satelit untuk membantu pemberontak Houthi Yemen menyerang kapal di Laut Merah, lapor Wall Street Journal.
Akhbar harian Amerika Syarikat (AS) memetik sumber terdekat dan dua pegawai pertahanan Eropah melaporkan data itu dihantar oleh perantara Iran dan digunakan untuk menyasarkan kapal dengan peluru berpandu dan dron.
Houthi, yang mengawal kawasan luas Yemen, mula menyasarkan perkapalan komersial di Laut Merah sebagai solidariti dengan rakyat Palestin dalam perang Gaza, yang dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
Serangan tersebut menyebabkan penurunan mendadak trafik yang melalui lorong perkapalan utama itu.
Sebagai tindak balas, AS dan Britain mengerahkan gabungan tentera laut ke rantau itu dan mengebom sasaran Houthi di Yemen.
Dalam lebih 100 serangan Houthi selama hampir setahun, empat kelasi terbunuh dan dua kapal karam, manakala sebuah kapal dan anak kapalnya kekal ditahan sejak dirampas November lalu.
Presiden Russia, Vladimir Putin berminat untuk menolak pengasingan politik dan ekonomi yang dikenakan ke atas negaranya oleh Barat sejak pencerobohannya ke Ukraine pada 2022.
Laporan itu dibuat selepas sidang kemuncak negara-negara BRICS, kumpulan diplomatik yang mengumpulkan sembilan negara yang merangkumi hampir separuh penduduk dunia, termasuk China, India dan Iran.
Secara berasingan, Moscow menghadapi tuduhan baharu meningkatkan konflik di Ukraine minggu ini dengan AS, Korea Selatan, Kyiv dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semuanya mengatakan Korea Utara telah menghantar tentera ke Russia.-AFP










