Rakyat Lubnan diberi kelonggaran tinggal sementara di AS

Rakyat Lubnan diberi kelonggaran tinggal sementara di AS

PENDUDUK memunggah barangan ke dalam sebuah van untuk melarikan diri daripada serangan pengeboman Israel di Lubnan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Washington akan membenarkan beberapa warga Lubnan yang terjejas akibat konflik di negara mereka untuk tinggal sementara di Amerika Syarikat (AS) dan memohon permit bekerja.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri memaklumkan, Status Perlindungan Sementara (TPS) akan memberikan kelonggaran imigresen kepada warga Lubnan yang layak ekoran konflik bersenjata di negara itu.

Mereka yang layak akan dibenarkan tinggal di negara itu sementara AS mengadakan perbincangan untuk mencapai penyelesaian diplomatik bagi kestabilan dan keselamatan berpanjangan di sempadan Israel-Lubnan.

Tawaran itu terpakai untuk mereka yang sudah berada di AS sejak 16 Oktober dan sah bagi tempoh 18 bulan, lapor The Associated Press.

Pengumuman ini, bersama tawaran pada Julai lalu, membolehkan sekitar 11,000 warga Lubnan menetap dan memohon permit bekerja di AS, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Susulan itu, Jawatankuasa Anti-Diskriminasi Amerika-Arab (ADC) menyambut baik langkah penting untuk memastikan rakyat Lubnan keluar daripada zon perang dan pada masa sama menggesa AS berhenti menghantar senjata kepada Israel.

Hezbollah memulakan serangan berskala rendah terhadap tentera Israel sehari selepas rejim melancarkan operasi ketenteraan secara agresif di Gaza, pada 7 Oktober 2023.

Konflik di Lubnan meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan Israel melancarkan serangan besar-besaran di sempadan dan ke dalam negara tersebut serta melaksanakan operasi darat di utara.

Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan satu perempat daripada wilayah Lubnan berada di bawah arahan pemindahan tentera Israel, manakala Pertubungan Antarbangsa untuk Migrasi (IOM) melaporkan sekurang-kurangnya 690,000 orang dipindahkan akibat konflik itu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN