Polis buat rondaan halang parti Halloween di Shanghai

Polis buat rondaan halang parti Halloween di Shanghai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Polis Shanghai membuat rondaan di jalan-jalan di pusat bandar untuk menyekat sambutan Halloween di lokasi antarabangsa di China itu.

Pihak berkuasa tempatan cuba menghalang ulangan sambutan tahun lalu, apabila pesta Halloween membanjiri pusat bandar Shanghai, dengan beberapa peserta memakai kostum yang mempersendakan pasaran saham China, pengangguran belia dan dasar ketat Covid-19.

Hujung minggu ini, kehadiran polis, siaran dalam talian mengenai tindakan tegas dan hujan berterusan mengurangkan kemeriahan di bandar itu.

Menurut beberapa saksi, sekurang-kurangnya enam individu berpakaian kostum yang hadir di taman Zhongshan dibawa pergi oleh polis pada malam Jumaat lalu.

Tiada notis rasmi di seluruh bandar yang mengharamkan sambutan Halloween.

Tetapi pegawai daerah tempatan menghantar notis kepada perniagaan, menggalakkan sambutan dan aktiviti mesra keluarga namun tidak menggalakkan orang dewasa memakai kostum.

Seorang pemilik bar dan restoran di daerah hiburan malam Jing An mengakui diminta menandatangani satu perjanjian dikeluarkan oleh pihak berkuasa daerah tempatan.

Notis itu memintanya berjanji tidak akan menganjurkan sebarang aktiviti seperti pertandingan kostum untuk mengekalkan ketenteraman sosial dan imej awam yang baik.

Menjelang Sabtu, berita mengenai tindakan tegas Shanghai terhadap Halloween menjadi topik trending di laman media sosial China, termasuk Weibo.

“Walaupun di Shanghai yang agak terbuka, skala kebebasan sentiasa mengecil,” kata seorang pengguna.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×