SEOUL: Seorang lelaki berusia 50-an dilaporkan meninggal dunia akibat kelewatan mendapatkan rawatan kecemasan selepas ditolak beberapa hospital yang kekurangan kakitangan berikutan mogok doktor yang masih berterusan di Korea Selatan.
Menurut Kementerian Kesihatan dan Kebajikan, perkhidmatan kecemasan di wilayah Gyeongsang Selatan menerima laporan pada pukul 3.28 pagi, 6 September lalu, mengenai seorang lelaki dari Yeoncho-myeon di Geoje mengalami sakit perut dan muntah.
Sebelum itu, beliau telah melawat sebuah bilik kecemasan berhampiran dan diperiksa oleh doktor, namun tiada masalah besar yang ditemui.
Lelaki tersebut masih sedar ketika diambil oleh pasukan perubatan kecemasan, yang kemudian berusaha mendapatkan kemasukan di 10 hospital di bandar-bandar besar berhampiran seperti Changwon, Jinju, dan Busan.
Kesemua hospital tersebut menolak untuk merawat pesakit itu.
Walaupun akhirnya diterima di sebuah hospital di Geoje pada pukul 4.46 pagi, pesakit itu tidak dapat menjalani pembedahan akibat kekurangan kakitangan.
Beliau kemudian dipindahkan ke sebuah hospital di Busan, di mana beliau dimasukkan pada pukul 8.53 pagi, namun gagal diselamatkan dan meninggal dunia dua hari kemudian.
Menurut Kementerian Kesihatan, pihaknya akan meminta kerajaan wilayah untuk menyiasat butiran kes tersebut, termasuk keadaan fizikal pesakit, langkah-langkah yang diambil oleh setiap institusi perubatan, serta proses pemilihan hospital dan pemindahan pesakit.
Tambahnya, kementerian juga akan mempertimbangkan untuk menjalankan siasatan sendiri jika perlu, dan berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang masalah dalam siasatan.
Kebanyakan hospital di Korea Selatan menghadapi kekurangan kakitangan perubatan akibat mogok dan protes yang berlangsung selama berbulan-bulan oleh doktor di seluruh negara, sebagai bantahan terhadap rancangan kerajaan untuk menambah kemasukan pelajar ke sekolah perubatan.
Situasi itu menyebabkan beberapa kes kelewatan rawatan kecemasan yang mengakibatkan kematian dan kemerosotan keadaan pesakit. -AGENSI










