ISLAMABAD: Harga global bagi pelbagai jenis beras turun minggu ini selepas India dan Pakistan mengambil langkah menghapuskan had harga dan menyambung semula eksport beras.
Sabtu lalu, kerajaan India menarik balik larangan eksport beras putih bukan basmati selepas lebih setahun menyekat jualan di luar negara, dengan hasil tanaman yang lebih besar pada 2024 mengukuhkan rizab gudang negeri untuk keperluan domestik.
Keputusan itu menyusuli pengumuman Pakistan sehari sebelumnya untuk menarik balik harga eksport minimum (MEP) semua jenis beras.
Had itu dilaksanakan sejak 2023 dan ditetapkan pada AS$1,300 (RM5,499) setiap tan metrik untuk beras basmati, dan AS$550 (RM2,326) untuk beras bukan basmati.
Keputusan Pakistan dipengaruhi oleh penyingkiran awal MEP oleh India sebanyak AS$950 (RM4,019) setiap tan metrik untuk beras basmati pada bulan September.
India dan Pakistan adalah satu-satunya negara yang menghasilkan beras basmati, juga dikenali sebagai ‘mutiara wangi’, kerana rasa dan aromanya yang unik.
Dalam pemberitahuan yang dikeluarkan pada 28 September, Menteri Perdagangan Pakistan, Jam Kamal Khan berkata, kerajaan bertindak atas permintaan Persatuan Pengeksport Beras Pakistan (REAP) untuk menghapuskan MEP.
Jam Kamal berkata, tingkat harga itu diperkenalkan tahun lepas sebagai tindak balas kepada kenaikan harga beras global dan larangan eksport India ke atas beras bukan basmati, yang diikuti oleh tindakan New Delhi mengenakan beberapa sekatan ke atas eksport beras basmati pada Ogos 2023.
Larangan tersebut menjadikan Pakistan satu-satunya pengeksport beras basmati ketika itu dan membenarkan ia mengenakan bayaran tertinggi melalui MEP.
“Dengan penurunan harga beras antarabangsa baru-baru ini dan India menarik balik larangan eksportnya, MEP menjadi penghalang kepada pengeksport beras Pakistan untuk terus berdaya saing dalam pasaran global,” jelas Jam Kamal.
Beliau mengunjurkan langkah itu boleh meningkatkan eksport beras Pakistan, berpotensi mencecah pendapatan AS$5 billion (RM21.15 billion) tahun kewangan ini.-AGENSI










