Menteri Pertahanan Israel batal lawatan ke AS

Menteri Pertahanan Israel batal lawatan ke AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant membatalkan lawatan ke Pentagon, ketika media Israel melaporkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mahu terlebih dahulu bercakap dengan Presiden AS, Joe Biden.

Pembatalan mengejut semalam berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Israel dan Iran selepas rejim itu mempertimbangkan pilihan untuk bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu Teheran minggu lalu.

Pentagon enggan menyatakan sebab Gallant membatalkan lawatannya dan merujuk wartawan kepada kementerian pertahanan Israel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pejabat Netanyahu dan Gallant tidak menjawab permintaan untuk memberikan komen berhubung isu itu.

“Kami baharu dimaklumkan bahawa Gallant akan menangguhkan perjalanannya ke Washington,” jurucakap Pentagon Sabrina Singh memberitahu taklimat berita.

Akhbar Ynet Israel melaporkan, Gallant berharap lawatannya ke AS akan mengukuhkan penyelarasan ke atas Iran tetapi beberapa jam sebelum berlepas, Netanyahu menetapkan dua prasyarat iaitu panggilan telefon dengan Biden dan kelulusan kabinet terhadap respons kepada Iran.

Biden dan pembantunya telah bercakap tentang kemungkinan panggilan dengan Netanyahu sejak akhir September.

Tetapi White House tidak segera menjawab pertanyaan sama ada panggilan sedemikian kini telah dijadualkan.

Jumaat lalu, Biden berkata beliau fikir Israel belum membuat kesimpulan bagaimana untuk bertindak balas terhadap Iran dan menambah, akan memikirkan alternatif untuk menyerang kemudahan minyak Iran jika berada di kedudukan Israel.

Iran pada Selasa memberi amaran kepada Israel supaya tidak mengikuti ancaman tindakan balas.

Menteri luarnya berkata, sebarang serangan ke atas infrastruktur Iran akan dibalas manakala seorang pegawai kanan Iran memberitahu negara-negara Teluk bahawa ia ‘tidak boleh diterima’ dan akan mendapat respons jika mereka membenarkan ruang udara mereka digunakan terhadap Iran.

Kuasa Barat sedang mencari penyelesaian diplomatik, bimbang konflik itu boleh menjejaskan lebih banyak negara pengeluar minyak di Asia Barat.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini