COLOMBO: Majlis keselamatan Israel menyeru penduduknya supaya segera meninggalkan beberapa kawasan pelancongan di selatan Sri Lanka berikutan ancaman serangan pengganas.
Amaran tersebut melibatkan kawasan Teluk Arugam serta pantai di selatan dan barat Sri Lanka, selepas agensi itu menerima maklumat semasa tentang ancaman pengganas yang tertumpu pada kawasan pelancongan dan pantai.
Majlis keselamatan itu tidak menyatakan sifat sebenar ancaman tersebut namun menyeru penduduknya di seluruh Sri Lanka supaya berhati-hati dan mengelak daripada mengadakan perhimpunan besar di kawasan awam.
“Pertubuhan keselamatan Israel sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa keselamatan di Sri Lanka dan mengikuti perkembangan itu,” katanya.
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Sri Lanka turut mengeluarkan amaran keselamatan serupa, menyatakan sudah menerima maklumat yang boleh dipercayai mengenai amaran serangan yang menyasarkan lokasi pelancongan popular di kawasan Teluk Arugam.
“Rakyat AS sangat digesa untuk mengelak kawasan Teluk Arugam sehingga diberitahu kelak,” tambahnya tetapi tidak memberikan sebarang butiran.
Kementerian Luar Jerman juga menggesa pelancong untuk mengelak kawasan itu atau meninggalkannya secepat mungkin, memetik ‘petunjuk kemungkinan serangan ke destinasi pelancongan’.
Menurut jurucakap polis, Nihal Thalduwa dalam satu kenyataan video yang dikeluarkan di Colombo, keselamatan dipertingkatkan di kawasan itu dan pegawai polis diarah berada dalam keadaan berjaga-jaga.
“Kawasan ini adalah tempat yang popular untuk aktiviti luncur air dan ini telah menarik sejumlah besar pelancong Israel. Kami sedang berusaha untuk memastikan mereka kekal selamat,” kata Thalduwa.
Sri Lanka yang terkenal dengan pantainya yang bersih, ladang teh dan kuil bersejarah, menyaksikan peningkatan semula pelancong apabila negara pulau itu pulih daripada krisis kewangan yang teruk.
Data kerajaan menunjukkan, dalam lapan bulan pertama tahun ini, 1.5 juta pelancong tiba di Sri Lanka, termasuk sejumlah 20,515 dari Israel.-REUTERS










