Indonesia tarik 'petani milenia', tawar gaji kalah menteri

Indonesia tarik ‘petani milenia’, tawar gaji kalah menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia berusaha menarik minat golongan petani muda dengan menawarkan teknologi moden dan gaji minimum sebanyak 10 juta rupiah (RM2,772) dalam usaha mencapai matlamat jaminan bekalan makanan sendiri.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata, negara tersebut perlu menghasilkan bekalan makanan mencukupi untuk rakyatnya dan tidak terus bergantung pada makanan import.

Pada Rabu, Menteri Pertanian, Andi Amran Sulaiman berikrar untuk mencapai sasaran tersebut dalam tempoh tiga tahun, setahun lebih awal daripada jangkaan Prabowo.

Kerajaan bercadang membentuk 15 brigade petani milenial untuk menguruskan 200 hektar tanah pertanian yang meliputi kawasan seluas 374 padang bola.

“Setiap petani boleh memperoleh minimum 10 juta rupiah (RM2,772) sebulan, dan sesetengahnya boleh mencecah 20 juta rupiah (RM5,545). Itu lebih tinggi daripada gaji menteri atau pekerjaan lain yang menawarkan hanya 2 juta rupiah (RM554),” kata Andi dalam temu bual eksklusif bersama B-Universe Media Holdings.

Data daripada Badan Statistik Indonesia pada Februari menunjukkan purata gaji bulanan pekerja pertanian hanya sekitar 2.1 juta rupiah (RM582), jauh di bawah purata nasional 3.04 juta rupiah (RM842).

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menggaji sekitar 40.72 juta orang, membentuk 28.6 peratus tenaga kerja.

“Kita tidak boleh memaksa golongan milenia dan Gen Z untuk bekerja dalam bidang pertanian. Kita perlu mewujudkan sistem yang membuatkan mereka selesa,” kata Andi, memetik laporan media tempatan, Jakarta Globe.

Menurutnya, petani akan mendapat akses kepada baja, dan kerajaan merancang menggandakan bajet subsidi baja dalam masa terdekat.

Selain itu, beribu-ribu pam air telah diedarkan kepada petani bagi meningkatkan hasil tuaian tanpa bergantung kepada musim hujan di mana pam tersebut membantu mengalirkan air dari sungai ke sawah, terutamanya di kawasan padat penduduk seperti Jawa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN