JAKARTA: Bekas penyanyi kumpulan popular Nidji, Giring Ganesha dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan dalam Kabinet Merah Putih Presiden, Prabowo Subianto.
Prabowo mengumumkan perlantikan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Merah Putih itu di Istana Merdeka di Jakarta.
Giring akan berkhidmat bersama Fadli Zon yang dilantik sebagai Menteri Kebudayaan.
Nidji terkenal sekitar 2000 an dengan lagu-lagu bernafas baharu seperti Laskar Pelangi dan Hapus Aku.
Giring mengundurkan diri daripada kumpulan itu pada 2017 untuk melanjutkan pelajaran sebelum memilih terjun ke dunia politik dan menyertai Parti Solidariti Indonesia (PSI) pada 2019.
Kini, beliau adalah ahli Lembaga Pemegang Amanah PSI sementara jawatannya sebagai ketua umum digantikan oleh anak bongsu bekas Presiden, Joko Widodo (Jokowi), Kaesang Pangarep.
Bukan sahaja sibuk dengan politik, Giring juga sempat kembali ke dunia muzik pada September lalu dengan mengeluarkan EP bertajuk Serigala dan kerap muncul dalam pelbagai rancangan muzik.
Menurut Giring, terdapat visi besar yang ingin direalisasikan terutamanya mengenai penciptaan semula budaya Indonesia.
“Kami mempunyai tugas besar untuk membina bangsa dan negara dan juga tugas besar untuk mencari kembali budaya Indonesia,” kata Giring selepas pertemuannya dengan Prabowo.
Sebagai bekas pemuzik dan artis, Giring dianggap mampu memahami dan menerapkan kepentingan seni dan budaya dalam kehidupan rakyat Indonesia.-AGENSI










