SINGAPURA: Darul Arqam Singapura menolak sekeras-kerasnya sebarang dakwaan pihaknya mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mahupun dengan mana-mana kegiatannya kini atau yang terdahulu.
Kenyataan itu dibuat berikutan beberapa catatan media sosial oleh pencipta kandungan Malaysia dan Singapura, yang mengaitkan gerakan itu dengan Darul Arqam Singapura.
Persatuan itu menambah, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan tidak menerima sama sekali sebarang kenyataan atau dakwaan atau andaian yang mengaitkan Darul Arqam dengan GISBH.
“Darul Arqam mesti menekankan pendirian bahawa kami memandang sangat serius reputasi dan integriti kami kerana kami sangat menjunjung tinggi peraturan dan tatacara persatuan ini.
“Kami berikrar untuk mempamerkan sifat tolak ansur yang tertinggi dan kesetiaan yang teguh kepada perpaduan antara agama dan kaum di Singapura yang berbilang aspek dan budaya untuk hidup bersama dengan penuh harmoni,” jelas kenyataan itu.
Darul Arqam turut menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang atau selain itu terhadap mana-mana individu atau entiti yang cuba membabitkannya dengan perkara tersebut.
Pertubuhan itu diberi nama ‘Darul Arqam’ pada 1980 oleh mantan Mufti Singapura, Ustaz Syed Isa Semait, selepas ia ditubuhkan pada 1979.
Nama ‘Darul Arqam’ itu sebagai penghargaan kepada Aboo Abdullah Arqam bin Abi al-Arqam, iaitu seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, yang dengan baik hati membuka pintu rumahnya untuk menyebarkan ajaran Islam kepada mereka yang baru memeluk Islam.
Darul Arqam, yang terletak di 32 Onan Rd, menyediakan peluang-peluang pendidikan yang mencerminkan prinsip Islam menerusi kuliah, kursus, khidmat-khidmat penting dan bantuan kepada yang memerlukan.
Menurut Darul Arqam lagi, ia juga secara proaktif memupuk pemahaman tentang Islam, dengan memberikan perspektif seimbang mengenai agama dalam kalangan semua individu, tidak kira kaum, bahasa atau agama.-AGENSI










