GOMA: Republik Demokratik Congo, yang bergelut dengan wabak Mpox, memulakan kempen vaksinasi terhadap virus itu pada Sabtu di bandar timur Goma.
Pelancaran kempen, sepatutnya dijadualkan pada Rabu lepas, ditunda selama tiga hari akibat kesukaran logistik dalam menghantar vaksin ke seluruh negara.
Menurut AFP, vaksin pertama diberikan kepada kakitangan hospital, dengan kempen ini menyasarkan penduduk di timur negara mulai Isnin.
Ketua kakitangan di Kementerian Kesihatan Congo, Romain Muboyayi berkata, negara itu akan melancarkan perang habis-habisan terhadap wabak yang menular sejak setahun lalu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam hantaran di X berkata, kempen vaksinasi adalah langkah penting untuk melengkapkan usaha mengawal wabak dan melindungi nyawa.
Setakat ini, Congo menerima 265,000 dos vaksin, termasuk sumbangan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Namun, negara itu masih menunggu berjuta-juta lagi dos vaksin yang dijanjikan oleh Perancis, Jepun dan AS.
Sejak awal tahun ini, Republik Demokratik Congo, yang merupakan negara termiskin di dunia, mencatatkan lebih 30,000 kes Mpox dengan 988 kematian.
Menteri Kesihatan, Samuel-Roger Kamba berkata, sebanyak 70 peratus daripada kematian melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.
“Ia bukan kempen vaksinasi besar-besaran… strateginya adalah untuk memberi vaksin kepada golongan paling berisiko.
“Seperti yang anda boleh bayangkan, di negara dengan 100 juta orang, tidak akan boleh menyelesaikan wabak ini dengan hanya 265,000 dos vaksin,” kata Kamba.
Beliau berkata, pemberian kini dikhususkan kepada sasaran utama iaitu individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada dan kakitangan perubatan.
Katanya, Congo sedang mengadakan perbincangan untuk mendapatkan bekalan tambahan dari Jepun, di mana vaksin Mpox diluluskan untuk kegunaan orang dewasa dan kanak-kanak.– AFP










