JUBA: Kira-kira 893,000 orang terjejas akibat banjir di Sudan Selatan, manakala lebih 241,000 lagi kehilangan tempat tinggal, menurut agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) dalam perkembangan terbaru mengenai bencana itu.
Agensi bantuan memberi amaran mengenai Sudan Selatan, negara termuda di dunia yang terdedah kepada perubahan iklim, sedang menghadapi banjir paling buruk dalam tempoh beberapa dekad.
“Banjir terus menjejaskan dan memaksa penduduk berpindah di seluruh negara,” menurut kenyataan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).
“Hujan lebat dan banjir telah menyebabkan 15 laluan bekalan utama tidak dapat dilalui, sekali gus menyekat akses fizikal.”
Katanya, terdapat 893,000 orang terjejas akibat banjir di 42 daripada 78 daerah di Sudan Selatan serta di Kawasan Pentadbiran Abyei, zon yang menjadi rebutan antara Juba dan Khartoum.
Negeri Unity dan Warrap di utara negara itu menyumbang lebih 40 peratus daripada jumlah penduduk yang terjejas dan lebih 241,000 orang telah dipindahkan di 16 daerah dan kawasan Abyei.
Sejak memperoleh kemerdekaan daripada Sudan pada 2011, Sudan Selatan terus dibelenggu oleh ketidakstabilan, keganasan, kemerosotan ekonomi serta bencana alam seperti kemarau dan banjir.
Bank Dunia dalam kemas kini pada 1 Oktober lalu berkata, banjir terbaharu ini memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah kritikal, termasuk ketidakjaminan makanan, kemerosotan ekonomi, konflik berterusan, wabak penyakit, dan kesan daripada konflik di Sudan.
Bank Dunia juga menganggarkan seramai sembilan juta orang, termasuk pelarian akan menghadapi ‘keperluan kritikal’ pada 2024.
Konflik di Sudan telah menyaksikan lebih 797,000 pelarian melarikan diri ke Sudan Selatan setakat September, dengan hampir 80 peratus daripadanya adalah rakyat Sudan Selatan yang kembali ke tanah air. -AGENSI










