Polis Makassar siasat kes keganasan seksual libatkan staf hospital

Polis Makassar siasat kes keganasan seksual libatkan staf hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKASSAR: Pihak Polis Makassar sedang menyiasat satu kes dakwaan keganasan seksual yang melibatkan seorang staf wanita di sebuah hospital Kota Makassar, Sulawesi Selatan.

Mangsa yang berusia 24 tahun, telah membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa dengan diiringi oleh peguam dan Unit Perlindungan Perempuan dan Kanak-Kanak Makassar pada Sabtu.

Menurut Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Makassar, Wahiddudin, pihak polis akan meneliti kes ini berdasarkan laporan yang diterima, termasuk memanggil saksi-saksi dan mengumpul bukti-bukti yang relevan.

“Kita akan teruskan siasatan mengikut laporan yang diterima, termasuk pemeriksaan saksi dan pengumpulan bukti,” katanya kepada Kompas pada Isnin.

Difahamkan, kes keganasan seksual terhadap mangsa sudah berlaku sejak Mei lalu di mana mangsa dikatakan terpaksa memenuhi permintaan suspek, yang merupakan penyelia di tempat kerjanya, untuk menjaga kedudukannya sebagai pekerja.

Seorang ahli keluarga mangsa berkata, selain didera secara seksual, mangsa juga pernah dicekik dan diancam akan dipecat jika enggan menurut kehendak suspek.

Tindakan itu menyebabkan mangsa mengalami tekanan mental akibat ketakutan yang sentiasa menghantuinya setiap kali bertemu dengan suspek di tempat kerja.

“Kejadian ini berulang kali berlaku, dan kali terakhir, mangsa dicekik dan diancam akan dipecat dari pekerjaannya. Dia sudah bekerja selama lima tahun dan merupakan pekerja tetap, namun akhirnya beliau mengalami gangguan mental dan membuat laporan polis,” tambahnya.

Sementara itu, peguam mangsa, Alita Karen berkata, keadaan psikologi mangsa kini sangat tidak stabil kerana setiap kali mengingati kejadian atau diminta menceritakan semula, mangsa akan menggigil, menunjukkan trauma yang dialaminya berada di luar batasan normal.

“Melalui sesi bersama ahli psikologi, jelas bahawa mustahil mangsa mereka-reka cerita. Jika kejadian ini rekaan, reaksinya pasti akan berbeza,” jelas Alita.

Tambah Alita, suspek turut mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mangsa jika melaporkan kejadian ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN