ANKARA : Russia membebaskan wartawan Wall Street Journal, Evan Gershkovich yang didakwa seorang perisik, sebagai sebahagian daripada pertukaran tahanan terbesar antara Timur dan Barat sejak Perang Dingin.
Akhbar Wall Street Journal melaporkan, Gershkovich bersama 15 tahanan warganegara Amerika Syarikat (AS), dilihat keluar daripada pesawat Russia kira-kira pukul 11.20 pagi waktu tempatan di sebuah lapangan terbang di Ankara, Turki.
Mereka kemudian dibawa ke ruang menunggu di lapangan terbang menggunakan bas sebelum menaiki pesawat ke AS.
“Mereka selamat, bebas dan dalam perjalanan pulang ke pangkuan keluarga,” kata Presiden AS, Joe Biden dalam satu catatan di laman X.
Biden merancang untuk menyambut kumpulan tersebut yang bakal mendarat di Pangkalan Bersama Andrews di Maryland sekitar pukul 11.30 malam waktu tempatan dengan Naib Presiden, Kamala Harris juga dijangka hadir.
Gershkovich, 32, yang sering membuat liputan tentang ketenteraan Russia dan pentadbiran Presiden Russia, Vladimir Putin, ditahan di Yekaterinburg pada akhir Mac tahun lalu atas dakwaan mengintip.
Pembebasan tahanan berkenaan dibuat susulan rundingan kompleks selama bertahun-tahun antara AS, Russia, Belarus dan Jerman, sehingga Berlin bersetuju kepada tuntutan Moscow yang mahu rakyatnya yang juga seorang pembunuh upahan, Vadim Krasikov dibebaskan.
Sebanyak lapan tahan termasuk Krasikov, dihantar pulang ke Russia sebagai pertukaran kepada 16 tahanan yang menjalani hukuman di Russia termasuk empat warganegara AS. – AGENSI










