KYIV: Serangan Russia terhadap kemudahan tenaga di Ukraine menyebabkan 100,000 orang terputus bekalan elektrik di wilayah barat Sumy.
Menurut Ukrenergo, syarikat tenaga nasional, kerja pemulihan bekalan sedang dijalankan selepas serangan yang menyebabkan penutupan kecemasan kepada pengguna di bandar dan wilayah Sumy, bersempadan dengan Russia.
Tiada laporan kematian atau kerosakan selain kemudahan tenaga itu, lapor Reuters.
Russia terus memusnahkan kemudahan tenaga di seluruh Ukraine, mengheret negara itu ke dalam keadaan tanpa elektrik yang berlarutan, dengan penduduk terpaksa berpanas tanpa bekalan air, penghawa dingin atau peralatan perubatan.
Sepanjang tiga bulan lalu sahaja, Ukraine kehilangan sembilan gigawatt kapasiti penjanaan tenaga, termasuk kesemua loji kuasa termal dan tapak hidroelektrik rosak akibat serangan dron atau peluru berpandu.
Kehilangan ini cukup untuk menyediakan tenaga kepada seluruh Belanda pada waktu puncak penggunaan, dan lebih satu pertiga kapasiti yang dimiliki Ukraine sebelum pencerobohan skala penuh Russia bermula pada Februari 2022, kata Ukrenergo.
Poland mengalihkan lebihan elektrik ke Ukraine untuk membantu mengatasi serangan Russia, tetapi Ukrenergo menjadualkan pemotongan elektrik sepanjang hari di seluruh negara kerana penjanaan domestik dan import elektrik tidak mencukupi bagi menampung defisit.
Jurucakap Ukrenergo, Maria Tsaturian berkata, pihaknya tiada pilihan lain meskipun menyedari kemarahan orang ramai terhadap syarikat itu kerana sering memotong bekalan elektrik untuk tempoh lama.
Sementara itu, Komando Tentera Udara Ukraine mendakwa menembak jatuh 24 daripada 27 dron kamikaze Shahed yang dilancarkan Russia pada 5 dan 6 Julai lalu.
Dron itu dipintas di kawasan termasuk wilayah Sumy, menggunakan gangguan elektronik dan pertahanan anti-udara.










