NEW DELHI: Sokongan pemimpin dunia dan diaspora terutama di Amerika Syarikat (AS) dilihat penting bagi mengukuhkan imej Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Ini ekoran selepas beliau kehilangan majoriti besar dalam pilihan raya.
Penganalisis politik berpendapat, beliau perlu mengekalkan pengaruhnya dalam kalangan masyarakat India di luar negara. Di tengah-tengah tamparan mengejutkan yang diterima Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinannya.
Pengkritik berkata, Modi banyak menyumbang kepada kebangkitan sentimen nasionalis Hindu dan ramai meramalkan BJP yang semakin hilang taring akan menyebarkan mesej mereka dengan lebih hebat dalam komuniti diaspora.
“BJP mendapat banyak sokongan dan tenaga daripada diaspora. Sekarang mereka berada dalam kedudukan yang lebih bertahan, mereka akan lebih bergantung pada rangkaian sokongan mereka,” kata pengkritik Modi dan warga tempatan Washington, Pranay Somayajula, 23.
Somayajula yang juga Pengarah Advokasi Badan Hak Asasi Manusia Hindu dan beberapa orang India Amerika mengecam rekod Modi mengenai hak asasi manusia dan layanannya terhadap kumpulan minoriti.
Diaspora
Namun ramai diaspora memuji apa yang mereka lihat sebagai kemajuan besar India di bawah pemerintahannya.
Kajian oleh Carnegie Endowment mendapati bahawa kira-kira 50 peratus orang India Amerika menyokong Modi, bersama 74 peratus penduduk India di negara itu.
Menurut Presiden Persatuan Overseas Friends AS, Adapa Prasad, Modi dan BJP menghabiskan masa bertahun-tahun cuba untuk mendapatkan sokongan di AS dan dalam banyak cara, mereka dilihat berjaya.
Jelasnya, Modi memperoleh kelebihan itu sebahagian besarnya daripada organisasi seperti Rakan Luar Negara BJP serta ejen asing berdaftar yang beroperasi di 32 negara di seluruh dunia.
“Daripada lawatan White House hingga perhimpunan besar-besaran, cara Modi menggerakkan diaspora adalah lebih langsung daripada mana-mana pemimpin India sebelum beliau.
“Modi melihat orang India Amerika sebagai dutanya di luar negara, dan mereka hanya boleh mengharapkan usaha jangkauan itu meningkat.
“Beliau juga melihat diaspora India yang besar ini yang sangat makmur. Mereka harus dimanfaatkan untuk tujuan India dan persahabatan antara India dan negara tuan rumah mereka,” kata Prasad kepada NBC News.
Kelmarin, pengiraan undian menyaksikan BJP berdepan kekalahan besar di kawasan luar bandar di negara itu, di mana pengundi menyebut pengangguran dan inflasi sebagai isu paling mendesak yang gagal ditangani.
Walaupun ekonomi negara India berkembang pesat, kadar pengangguran belia meningkat sejak akhir tahun lepas.
Kawasan yang mempunyai lebih ramai pengundi yang ditindas oleh kasta juga berpaling daripada BJP, dengan pengundi bimbang program tindakan afirmatif akan ditarik balik.
Kebimbangan hak sivil lain, seperti isu anti-Islam dan serangan terhadap kebebasan akhbar turut menimbulkan kebimbangan daripada kumpulan pemerhati di AS dan di luar negara. – AFP










