SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura mengeluarkan amaran mengenai kumpulan perisian tebusan Akira dan menasihati organisasi supaya tidak membuat sebarang pembayaran sekiranya menjadi mangsa serangan siber itu.
Sebaliknya, mangsa harus melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC).
“Membayar wang tebusan tidak menjamin bahawa data akan dinyahsulit atau pelaku ancaman tidak akan menerbitkan data anda.
“Tambahan pula, pelaku ancaman mungkin melihat organisasi anda sebagai sasaran dan menyerang lagi pada masa hadapan. Ini juga boleh menggalakkan mereka meneruskan aktiviti jenayah itu dan menyasarkan lebih ramai mangsa,” jelas kenyataan itu.
Akira ransomware pertama kali muncul pada Mac 2023, dengan kumpulan ancaman mengendalikan model perisian tebusan sebagai perkhidmatan yang menyasarkan kedua-dua sistem pengendalian Windows dan Linux.
Kumpulan itu menyediakan perisian dan infrastrukturnya kepada ahli gabungan penjenayah siber lain sebagai pertukaran peratusan daripada sebarang wang tebusan yang dibayar oleh organisasi mangsa.
Organisasi
Beberapa perniagaan dan organisasi dalam sektor termasuk pendidikan, kewangan, pembuatan dan penjagaan kesihatan di seluruh dunia terjejas oleh kumpulan ancaman Akira.
Pihak berkuasa Singapura menasihatkan syarikat untuk sentiasa memantau pematuhan beberapa langkah dan dasar mitigasi bagi mengurangkan risiko serta kesan insiden perisian tebusan.
Organisasi turut diarah menguatkuasakan dasar kata laluan yang kukuh menggunakan komposisi campuran dan melaksanakan pengesahan berbilang faktor untuk meminimumkan risiko capaian tanpa kebenaran ke akaun yang mengakses sistem kritikal.
Pihak berkuasa turut mengesyorkan syarikat menyimpan tiga salinan sandaran dalam dua format media berbeza dengan mengekalkan hanya data penting selain meminimumkan pengumpulan data peribadi.
“Mengasingkan rangkaian juga boleh membantu mengawal aliran trafik antara sub-rangkaian dan mengehadkan penyebaran perisian tebusan. Organisasi juga harus memantau log mereka untuk sebarang aktiviti yang mencurigakan dan menjalankan langkah-langkah pemulihan jika perlu,” katanya.
CNA melaporkan, firma guaman tempatan Shook Lin & Bok dilanda serangan perisian tebusan Akira pada Mei lalu dan terpaksa membayar sebanyak AS$1.4 juta (RM6.57 juta) dalam bentuk Bitcoin. – MINGGUAN MALAYSIA










