SEOUL: Korea Selatan menyambung semula siaran pembesar suara yang diarahkan ke Korea Utara sebagai tanda amaran bagi menuntut Pyongyang menghentikan penghantaran belon sampah ke sempadan negara itu.
Keputusan untuk menyambung semula siaran itu adalah sebagai satu bentuk perang psikologi selepas Korea Utara mula melancarkan kira-kira 330 belon beserta sampah sejak Sabtu lalu, dengan lebih 80 daripadanya jatuh di kawasan sempadan.
“Langkah-langkah yang akan kami ambil mungkin tidak dapat ditanggung oleh rejim Korea Utara tetapi ia akan menghantar mesej harapan dan cahaya kepada tentera mereka dan rakyatnya,” kata Majlis Keselamatan Negara Korea Selatan.
Korea Selatan memberi amaran akan melakukan tindakan balas termasuk melalui siaran propaganda daripada pembesar suara besar yang dipasang di sempadan.
“Siaran itu mula dibuat petang kelmarin dan sama ada lebih banyak akan menyusul bergantung kepada cara Korea Utara bertindak balas,” kata tentera Korea Selatan.
Siaran yang dipercayai mampu mencecah jarak lebih 20 kilometer (km) ke Korea Utara itu diisi dengan berita dunia, maklumat tentang masyarakat demokratik dan kapitalis serta gabungan muzik K-pop yang popular.
Tentera Korea Selatan berkata, lebih banyak belon sampah tersebut dilancarkan oleh Korea Utara, memberi amaran kepada penduduk supaya tidak menyentuh sebarang objek yang mereka dapati melekat pada belon tersebut.
Pyongyang mula menghantar belon yang membawa sampah dan baja merentasi sempadan pada Mei lalu sebagai tindakan balas terhadap risalah anti-Utara yang diterbangkan oleh aktivis Korea Selatan dalam kempen propaganda mereka.
Pada 2 Jun,Pyongyang berkata akan menghentikan penghantaran belon buat sementara waktu kerana 15 tan sampah yang dihantar mungkin cukup untuk menyampaikan mesej itu.
Bagaimanapun, ia berikrar untuk menyambung semula penghantaran lebih seratus kali ganda belon sampah jika risalah diterbangkan sekali lagi dari Korea Selatan.
Sekumpulan aktivis Korea Selatan mengingkari amaran itu dan menerbangkan lebih banyak belon ke Korea Utara dengan risalah mengkritik pemimpinnya, Kim Jong Un bersama-sama pemacu pena yang mengandungi video dan drama K-pop serta wang kertas AS.
Korea Utara menunjukkan beberapa reaksi paling marah terhadap kempen risalah dan siaran pembesar suara, dalam beberapa kes menembak senjata ke arah belon dan pembesar suara.
Korea Selatan menghentikan siaran di bawah perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua pemimpin Korea pada 2018 tetapi ketegangan meningkat sejak itu ketika Pyongyang meneruskan pembangunan senjatanya.-AFP










