BERLIN: Kanak-kanak berusia dua tahun dari Jerman mencipta kejutan dalam dunia seni dengan hasil lukisan abstrak unik menggambarkan haiwan yang dijual dengan harga AS$7,000 (RM32,947).
Menurut The New York Post, perjalanan artistik Laurent Schwarz yang digelar ‘Mini Picasso’ bermula semasa percutian keluarga tahun lalu, apabila keterujaannya dengan bilik aktiviti resort itu yang mencungkil minatnya terhadap seni lukisan.
Apabila pulang ke rumah, ibu bapanya menyediakan studio seni khusus untuknya di mana dia mempamerkan bakat dan kreativiti luar biasanya.
Menurut laporan berita, lukisan Laurent menampilkan gabungan unik bentuk abstrak dengan figura haiwan yang boleh dikenali seperti gajah, dinosaur dan kuda.
Ibunya, Lisa berkata, anaknya menggemari warna-warna terang dan mempunyai visi yang sangat jelas tentang kombinasi rona yang diinginkan agar hasil lukisannya tidak membosankan.
Lisa turut mencipta akaun Instagram (@laurents.art) untuk mempamerkan koleksi karya kanak-kanak itu yang pantas meraih populariti dan menarik lebih 29,000 pengikut.
Minat yang ditunjukkan warganet mendorong Lisa untuk mula menjual karya seni Laurent dalam talian.
Kejayaan untuk muncul di pameran seni ART MUC terbesar di Munich pada April lalu berjaya menarik perhatian pengumpul koleksi lukisan di beberapa negara dan Lisa kini sedang merancang membawa hasil karya anaknya itu untuk dipamerkan di galeri New York City.
Walaupun menempa kejayaan komersial, Lisa tetap mengutamakan kebebasan artistik anaknya.
“Terpulang kepada Laurent bila dan apa yang ingin dia lukis dan kami sentiasa memberinya masa untuk berehat dari studionya,” katanya.











