JAKARTA: Pekerja swasta dan yang bekerja sendiri di Indonesia termasuk warga asing kini perlu menyumbang tiga peratus daripada gaji mereka kepada Tabung Simpanan Perumahan Awam negara itu dalam tindakan terbaharu kerajaan yang mencetuskan kritikan meluas.
Mereka dilaporkan akan menyertai penjawat awam yang sudah menyumbang kepada dana dikenali sebagai BP Tapera sejak 2016.
Presiden, Joko Widodo (Jokowi) menandatangani Peraturan Kerajaan terkini mengenai Pelaksanaan Tapera menjadi undang-undang pada 20 Mei lalu, berbalik kepada versi awal dasar yang merangkumi kedua-dua kakitangan awam dan swasta.
Lapor CNA, polisi itu memerlukan pekerja berumur 20 tahun ke atas atau mereka yang sudah berkahwin dan memperoleh sekurang-kurangnya gaji minimum untuk menyertai Tapera.
Mereka termasuk penjawat awam, anggota tentera, polis, pekerja perusahaan milik negara, pekerja sektor swasta dan warga asing yang bekerja di Indonesia selama sekurang-kurangnya enam bulan.
Di bawah polisi itu, pekerja akan menyumbang 2.5 peratus daripada gaji mereka manakala majikan menanggung baki 0.5 peratus sementara yang bekerja sendiri atau pekerja bebas akan menyumbang keseluruhan tiga peratus.
Timbalan Pesuruhjaya Tapera untuk Mobilisasi Dan, Eko Arianto berkata, caruman yang dibuat oleh pekerja asing itu akan dikembalikan sebaik sahaja mereka menamatkan pekerjaan dan meninggalkan Indonesia.
Dasar baharu itu mendapat tentangan daripada Persatuan Majikan Indonesia dan mencetuskan rasa tidak senang yang meluas.
Ramai rakyat Indonesia melihatnya sebagai satu lagi pemotongan paksa gaji bulanan mereka di samping cukai yang perlu dibayar dan Hashtag #Tapera menjadi trend di platform X susulan laporan berita tersebut.
Menteri Kerja Raya dan Perumahan Awam, Basuki Hadimuljono bagaimanapun berkata, Tapera adalah program simpanan dan bukan pemotongan gaji yang turut menjanjikan faedah pada penghujung penyertaan.










