PDI-P tolak rancangan Kabinet besar Prabowo

PDI-P tolak rancangan Kabinet besar Prabowo

HASTO KRISTIYANTO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) menentang sebarang langkah pentadbiran bakal Presiden, Prabowo Subianto untuk membentuk Kabinet yang lebih besar dengan kementerian negeri baharu.

Setiausaha Agung PDI-P, Hasto Kristiyanto berkata, parti itu akan membantah sebarang rancangan untuk meminta Parlimen meminda undang-undang berhubung bilangan maksimum kementerian yang boleh dibentuk oleh setiap kerajaan Indonesia.

“Matlamat penubuhan setiap kementerian adalah untuk mencapai objektif negara, dan bukan untuk menyesuaikan diri dengan kuasa politik,” kata Hasto dipetik CNN Indonesia.

PDI-P ialah parti pemerintah semasa dan bakal mengadakan mesyuarat kerja kebangsaan minggu depan bagi memutuskan sama ada akan menyertai gabungan itu atau menyertai kem pembangkang.

Prabowo sebelum ini dilaporkan merancang untuk menyusun semula Kabinetnya yang akan datang dengan menambah bilangan kementerian daripada 34 kepada lebih 40.

Pelan itu memerlukan pindaan kepada undang-undang yang menyatakan bahawa kerajaan hendaklah mempunyai tidak lebih daripada 34 kementerian.

Sejak kemenangan besarnya dalam pilihan raya Presiden Februari lalu, Prabowo berulang kali menyatakan hasratnya untuk membentuk Kabinet yang lebih besar dalam usaha untuk memastikan kerajaan lebih stabil melalui penyertaan ahli parti lain dalam gabungan tersebut.

Empat parti termasuk Gerindra pimpinan Prabowo, Golkar, Parti Amanat Nasional (PAN) dan Parti Demokrat mengisytiharkan akan menyertai Gabungan Indonesia Maju bekas jeneral tentera itu.

Parti NasDem dan Parti Kebangkitan Kebangsaan turut menyertai gabungan itu bulan lalu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) secara rasmi mengisytiharkan Prabowo dan pasangannya Gibran Rakabuming Raka sebagai pemenang rasmi.

Setiausaha Agung Gerindra, Ahmad Muzani berkata, undang-undang semasa mengehadkan bilangan kementerian yang akan dibentuk perlu dipinda kerana tidak cukup responsif bagi menangani cabaran baharu yang dihadapi oleh kerajaan akan datang.

“Setiap Presiden mempunyai dasar yang berbeza, justeru, mereka sentiasa menukar nama dan struktur kementerian untuk memenuhi agenda masing-masing. Undang-undang mesti fleksibel berhubung bilangan dan nama kementerian,” katanya.

Beliau berkata pindaan kepada undang-undang itu mungkin berlaku sebelum pelantikan Prabowo pada 20 Oktober ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×