SEOUL: Korea Selatan akan membenarkan doktor asing bekerja di hospitalnya selepas proses pemeriksaan yang ketat berikutan mogok selama berbulan-bulan oleh pegawai perubatan pelatih yang tidak menunjukkan sebarang tanda penyelesaian.
Beribu-ribu doktor pelatih berhenti kerja pada 20 Februari lalu untuk membantah rancangan kerajaan melatih lebih ramai doktor, menyebabkan kekecohan di banyak hospital.
Kerajaan yang menawarkan beberapa konsesi dalam usaha untuk menamatkan kebuntuan berkata, doktor dengan lesen perubatan asing akan dibenarkan untuk bertugas di negara itu dalam usaha mengurangkan gangguan perkhidmatan.
Selepas langkah itu diumumkan, Ketua Persatuan Perubatan Korea (KMA), Lim Hyun-taek berkongsi tangkapan skrin laporan berita mengenai doktor Somalia yang baru tamat pengajian dengan komen ‘Akan Datang’.
Muat naik itu kemudian dialih keluar namun mencetuskan kritikan dalam talian yang meluas dan disifatkan sangat tidak sesuai serta berbaur perkauman.
“Muat naik itu mengeksploitasi Islamofobia dan stereotaip terhadap negara membangun,” kata Setiausaha Agung sebuah badan bukan kerajaan, Kim Jae-heon.
Perdana Menteri, Han Duck-soo berkata, kerajaan akan memastikan sistem keselamatan yang menyeluruh bagi menghalang doktor yang tidak berkelayakan dengan lesen asing daripada merawat rakyat negara itu.
Kerajaan berdepan kebuntuan yang berlarutan selepas doktor muda enggan kembali ke hospital walaupun kementerian kesihatan menawarkan untuk mengurangkan cadangan pembaharuan latihan perubatan bagi tahun 2025.
Doktor yang mogok menolak tawaran itu, sebaliknya menuntut rancangan untuk mewujudkan lebih ramai doktor dibatalkan sepenuhnya.
Menurut kerajaan, usaha itu penting untuk memerangi kekurangan dan menjaga populasi yang semakin tua.
Perdebatan mengenai rancangan perubatan kerajaan kini dibawa ke Mahkamah Tinggi Seoul, dengan doktor dan pelajar perubatan berusaha membuktikan ia tidak perlu sementara kementerian kesihatan bertegas untuk mengekalkan rancangan itu.
Menurut agensi berita Korea Selatan Yonhap, sebuah mahkamah pentadbiran sudah pun membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan dan Mahkamah Tinggi Seoul dijangka menyampaikan keputusannya minggu depan.-AFP










