BEIJING: Tentera China bertindak mengusir kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) USS Halsey yang memasuki perairan wilayah Kepulauan Paracel di Laut China Selatan.
Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dalam satu kenyataan mendakwa tindakan AS itu sangat serius dan melanggar kedaulatan serta keselamatan China.
“Ia adalah satu lagi bukti kukuh mengenai hegemoni pelayarannya dan ketenteraan di Laut China Selatan. Tentera kami akan terus mengambil langkah berjaga-jaga dan melindungi keselamatan negara,” katanya.
Tentera Laut AS dalam satu kenyataan berkata, kapal pemusnahnya menggunakan hak dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan berhampiran Kepulauan Paracel selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“USS Halsey keluar dari kawasan itu selepas operasinya dan diteruskan di Laut China Selatan,” katanya.
Pertikaian terbaharu antara China dan AS berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Laut China Selatan yang strategik.
Sejak beberapa bulan lalu, Filipina terlibat dalam perbalahan diplomatik sengit dengan Beijing berhubung pencerobohan dan gerakan berbahaya di dalam zon ekonomi eksklusif di perairan yang menjadi pertikaian itu.
Kelmarin, Penasihat Keselamatan Filipina, Eduardo Ano menggesa diplomat China diusir dari negara itu berikutan dakwaan kebocoran perbualan telefon dengan seorang laksamana Filipina berkaitan kawasan perbalahan di Laut China Selatan.
Jurucakap kementerian luar China, Lin Jian menyifatkan komen itu sangat provokatif dan menegaskan diplomatnya di Filipina perlu dibenarkan melakukan tugas mereka.
China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan, termasuk bahagian yang dituntut oleh Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei.
Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) pada 2016 memutuskan bahawa tuntutan Beijing tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa. REUTERS










