China lancar provokasi perang di sekitar Taiwan

China lancar provokasi perang di sekitar Taiwan

ANGGOTA tentera Taiwan menjalankan latihan rutin di Pelabuhan Liaoluo di Kinmen.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Tentera China meneruskan provokasi perang di sekitar Taiwan dengan latihan untuk menguji keupayaan merampas kuasa dan mengawal kawasan utama di pulau berkenaan.

Latihan dua hari di Selat Taiwan dan sekitar pulau yang dikuasai Taiwan berhampiran pantai China itu, bermula hanya tiga hari selepas Presiden, Lai Ching-te memegang jawatan.

China mengecam Ching-te sebagai ‘pemisah berbahaya’ yang akan mencetuskan perang di pulau itu, malah mengutuk ucapan pelantikannya Isnin lalu yang menegaskan kedua-dua belah selat itu tidak akan tunduk kepada pihak lain.

“Berdepan cabaran dan ancaman luar, kami akan terus mempertahankan nilai kebebasan dan demokrasi, serta menjaga keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.

Komando Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dalam satu kenyataan ringkas berkata, pasukannya meneruskan latihan yang digelar ‘Pedang Bersama – 2024A’ melibatkan pesawat dan kapal mengelilingi pulau itu untuk menguji keupayaan tempur mereka.

“Latihan itu bagi menguji keupayaan untuk bersama-sama merampas kuasa, melancarkan serangan bersama dan menduduki kawasan utama,” katanya.

Latihan tersebut berlangsung di Selat Taiwan dan di utara,  pulau itu serta kawasan sekitar pulau Kinmen, Matsu, Wuqiu dan Dong Yin yang ditadbir Taipei.

Kementerian Pertahanan Taipei berkata, lebih 49 jet dan pesawat dikesan sejak latihan bermula pada pukul 7.20 pagi (waktu tempatan) Khamis lalu, dengan 35 daripadanya melintasi garisan median yang membelah Selat Taiwan.

Ching-te berulang kali menawarkan rundingan dengan China namun ditolak. 

Beliau berkata, hanya rakyat Taiwan boleh menentukan masa depan mereka dan menolak tuntutan kedaulatan Beijing.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru semua pihak untuk mengelak ketegangan, sementara Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu dan penyokong tentera terkuat Taiwan menggesa China untuk mengekang sebarang provokasi.

Taiwan bertindak balas pada Khamis dengan mengerahkan tentera udara, darat dan laut, ketika kementerian pertahanan berikrar untuk mempertahankan kebebasan pulau berkenaan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN