HELSINKI: Seorang kanak-kanak terbunuh dan dua lagi parah dalam insiden tembakan mengejutkan di sebuah sekolah di Finland.
Polis berkata, ketiga-tiga mangsa berusia 12 tahun dan suspek yang juga usia serupa cuba melarikan diri tetapi kemudiannya berjaya ditahan.
Ibu bapa yang berada di lokasi kejadian berkata, tembakan berlaku di dalam bilik darjah di sekolah Viertola di Vantaa di utara ibu negara, Helsinki.
“Seorang daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Dua lagi kanak-kanak dibawa ke hospital dan keadaan mereka sangat kritikal.
“Suspek melarikan diri sebaik polis tiba dan akhirnya ditahan dalam keadaan tenang di daerah Siltamaki di utara Helsinki sekitar 40 minit selepas kejadian berlaku,” kata Ketua Polis Tempatan, Tomi Salosyrja.
Polis berkata, suspek masih memegang senjata api yang digunakan dan mengaku melakukan tembakan itu menggunakan pistol yang dilesenkan kepada saudara terdekatnya.
Pihak berkuasa kini membuka siasatan ke atas pembunuhan dan cubaan membunuh.
Kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak bertanggungjawab secara jenayah di Finland dan suspek tidak ditahan reman sebaliknya ditempatkan dalam jagaan perkhidmatan sosial selepas disoal siasat.
Insiden itu mencetus perdebatan untuk mengetatkan undang-undang pemilikan senjata api di Finland yang membenarkan kanak berumur lebih 15 tahun diberi lesen menggunakan senjata api orang lain jika mendapat kebenaran penjaga.
Perdana Menteri, Petteri Orpo menyifatkan tembakan itu amat mendukacitakan dan membuktikan semakin ramai orang muda di negara itu bergelut dengan masalah kesihatan mental.
“Kita harus berusaha menangani isu ini lebih awal,” katanya.
Presiden, Alexander Stubb turut menzahirkan rasa terkejut dengan insiden itu dan mengumumkan hari berkabung di Finland semalam.










