SYDNEY: Polis Australia berkata, penyerang yang membunuh enam orang di pusat membeli-belah di pinggir pantai Sydney di Bondi mungkin menyasarkan wanita.
Dalam serangan pada Sabtu lalu, lima daripada enam orang yang terbunuh serta majoriti daripada 12 mangsa yang cedera adalah wanita dan polis mengesahkan pihaknya sudah selesai mengambil bukti fizikal di pusat beli-belah tersebut.
Satu-satunya lelaki yang terbunuh dalam serangan itu ialah pengawal keselamatan, Faraz Tahir, 30, yang cuba menghalang suspek ketika kejadian.
Pesuruhjaya Polis New South Wales, Karen Web memberitahu ABC News Australia, jelas sekali suspek, Joel Cauchi memberi tumpuan kepada wanita dalam serangan itu.
“Ia jelas kepada saya, ia jelas kepada detektif yang suspek memberi tumpuan kepada wanita dan mengelakkan lelaki. Rakaman kejadian turut membuktikannya.
“Kami tidak tahu apa yang bermain dalam fikiran suspek. Itulah sebabnya amat penting sekarang untuk detektif menghabiskan banyak masa menemu bual mereka yang mengenalinya,” katanya.
Menurut saksi, Cauchi, 40, berlari melalui pusat beli-belah berkenaan dengan sebilah pisau sebelum ditembak mati oleh Inspektor, Amy Scott yang berhadapan dengannya selepas amukan mengejutkan itu.
Pihak berkuasa sebelum ini berkata, serangan tersebut kemungkinan besar mempunyai kaitan dengan kesihatan mental selepas bapanya, Andrew Cauchi memberitahu wartawan, anaknya berjuang dengan penyakit itu dan baru-baru ini berhenti mengambil ubat.
“Bagi anda dia adalah raksasa. Bagi saya, dia seorang budak lelaki yang sangat sakit. Dia mahukan teman wanita tetapi tidak mempunyai kemahiran sosial dan mula berasa kecewa,” katanya dalam video yang disiarkan oleh akhbar The Australian.
Bendera di seluruh negara dikibarkan separuh tiang semalam sementara layar Sydney Opera House dinyalakan sebagai penghormatan kepada mangsa.










