GENEVA: Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju untuk memberi tekanan kepada Myanmar dan Iran selepas kedua-dua negara itu didapati menindas rakyat mereka sendiri.
Jawatankuasa yang dibentuk menerusi penyertaan 47 negara itu turut disokong oleh konsensus yang menyeru setiap negara supaya tidak mengeksport atau menjual bahan api jet ke Myanmar.
Langkah itu penting bagi mengelakkan junta tentera yang memerintah negara itu menggunakan bahan api untuk melanggar hak asasi manusia terhadap rakyatnya sendiri.
Gesaan turut disuarakan bagi mengelakkan pemindahan senjata, peluru dan peralatan ketenteraan lain secara haram ke Myanmar dihentikan.
Pakar bebas yang ditugaskan oleh majlis itu memberi amaran, bulan lalu, jumlah keganasan yang dilakukan oleh kerajaan junta tentera Myanmar terhadap orang awam masih meningkat bagi menentang kemaraan pendukung prodemokrasi dan kumpulan etnik bersenjata.
Tiga tahun lalu, junta tentera merampas pentadbiran negara daripada pemimpin sahnya, Aung San Suu Kyi sehingga mengheret tentangan meluas rakyatnya.
Banyak siri kekerasan, penindasan dan kekejaman berlaku sehingga mencetuskan serangan balas bersenjata dan mengheret Myanmar ke kancah perang saudara.
Wakil Amnesty International, Iniyan Ilango berkata, pihaknya sudah berulang kali mendedahkan mengenai penghantaran bahan api secara haram ke Myanmar sejak Januari lalu.
Katanya, data perkapalan menunjukkan terdapat usaha untuk mengelakkan sekatan rantaian bekalan bahan api penerbangan.
“Sekurang-kurangnya tujuh penghantaran bahan api disalurkan ke Myanmar dengan pautan terus ke unit simpanan di Vietnam.
“Ini adalah mesej penting bahawa urus niaga yang berjalan seperti biasa tidak boleh diterima kerana bekalan bahan api jet itu digunakan bagi melakukan jenayah perang,” jelasnya.
Iran pula digesa bertanggungjawab atas keganasan fizikal yang membawa kepada kematian Mahsa Amini, 22, yang meninggal dunia selepas ditangkap oleh polis moral kerana didakwa tidak memakai tudung.
Kematian wanita itu mencetuskan bantahan besar selama berbulan-bulan, yang akhirnya meragut lebih 500 nyawa dan 22,000 yang lain ditahan.-AP










