LONDON: Seorang ketua Persatuan Pandu Puteri wanita yang sudah berkahwin didakwa di mahkamah atas pertuduhan mengadakan hubungan intim dengan seorang pelajar perempuan selama hampir dua tahun.
Fiona Bowden, 50, berdepan enam pertuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh dengan kanak-kanak, empat tuduhan aktiviti seksual dengan kanak-kanak serta dua lagi melibatkan tindakan menghasut remaja bawah umur melakukan aktiviti seksual.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada awal 2000-an ketika pelajar itu berusia 15 tahun.
“Kes ini melibatkan dakwaan penderaan seksual antara seorang gadis dan seorang wanita dewasa yang 12 tahun lebih tua daripadanya.
“Mahkamah mendengar bahawa gadis itu mengalami masalah psikologi yang nampaknya berpunca daripada insiden ketika dia masih muda,” kata Pendakwa Raya, John Benson.
Juri diberitahu, hubungan mereka bermula selepas Bowden memberikan nombor telefonnya kepada gadis itu yang ingin mendapatkan nasihat tentang beberapa masalah alaminya.
“Bowden melakukan hubungan seksual dengan mangsa beberapa kali, malah mengakui mencintai gadis itu selepas memberitahu hubungan dengan suaminya sudah tidak lagi baik.
“Interaksi antara defendan dan gadis itu terhenti selepas Bowden dan keluarganya berpindah dari Didcot, Oxfordshire ke Wales barat,” kata Benson.
Bowden mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut dan perbicaraan kes itu dilaporkan akan disambung semula di Mahkamah Oxford Crown, Isnin depan.










