Hartawan Vietnam dihukum mati kes penipuan wang terbesar

Hartawan Vietnam dijatuhi hukuman mati kes penipuan wang terbesar

TRUONG May Lan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Ho Chi Min City di Vietnam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI:  Seorang pemaju hartanah Vietnam berusia 67 tahun dijatuhi hukuman mati kerana merompak salah sebuah bank terbesar di negara itu dalam tempoh 11 tahun.

Lapor BBC, kes tersebut disifatkan sebagai perbicaraan paling mengejutkan yang pernah diadakan di Vietnam melibatkan penipuan bank terbesar dalam sejarah.

Pengerusi pemaju hartanah Van Thinh Phat Holdings Group, Truong My Lan didapati bersalah atas penyelewengan, rasuah dan pelanggaran peraturan pinjaman perbankan daripada Bank Komersial Saigon.

Truong menggelapkan AS$12.5 bilion (RM59.34 bilion), namun pendakwa raya berkata, jumlah kerosakan yang disebabkan oleh penipuan itu kini berjumlah AS$27 bilion (RM128.19 bilion), angka yang bersamaan enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK 2023) negara.

Panel tiga juri dan dua hakim menolak semua hujah pembelaannya dan ramai pakar percaya hukuman mati adalah cara mahkamah cuba menggalakkan Truong memulangkan beberapa bilion yang digelapkannya.

“Tiada kes penipuan pada skala sebesar ini dalam kempen anti-rasuah era komunis. Hukuman mati juga adalah hukuman yang luar biasa dijatuhkan dalam kes sedemikian,” kata bekas pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), David Brown yang berpengalaman lama di Vietnam. 

Pihak berkuasa komunis yang lazimnya berahsia tidak berselindung dalam kes itu selepas mendapat liputan meluas media antarabangsa dan menjelaskan secara terperinci maklumat dalam pendakwaan.

Seramai 2,700 orang dipanggil untuk memberi keterangan dengan 10 pendakwa raya negeri dan sekitar 200 peguam terlibat dalam kes tersebut.

Barang bukti kes terdapat dalam 104 kotak seberat enam tan dan seramai 85 orang termasuk pegawai bank serta elit perniagaan sudah dibicarakan dengan Truong sebagai dalang utama menafikan semua pertuduhan.

Kesemua defendan didapati bersalah, empat daripada mereka menerima hukuman penjara seumur hidup manakala selebihnya dipenjara sehingga 20 tahun.

Suami dan anak saudara Truong masing-masing menerima hukuman penjara sembilan dan 17 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN