WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan, Israel mesti menghalang kecederaan dan korban nyawa orang awam di Gaza jika mahu mengekalkan sokongan AS terhadapnya.
Biden berkata demikian dalam panggilan telefon selama 30 minit dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikutan serangan rejim Zionis minggu lalu yang membunuh tujuh pekerja bantuan badan amal World Central Kitchen (WCK) berpangkalan di AS.
Menurut White House, buat pertama kalinya, Biden memberi amaran, dasar AS berkenaan dengan Gaza kini bergantung kepada penilaian terhadap langkah konkrit Israel untuk menyekat pembunuhan orang awam serta pekerja bantuan dan tindakan segeranya memperbaiki keadaan kemanusiaan yang semakin buruk di wilayah itu.
“Biden menekankan bahawa serangan ke atas pekerja kemanusiaan dan keadaan kemanusiaan secara keseluruhannya tidak boleh diterima.
“Beliau menjelaskan keperluan bagi Israel untuk mengumumkan dan melaksanakan satu siri langkah khusus, konkrit dan boleh diukur bagi menangani bahaya orang awam, penderitaan kemanusiaan dan keselamatan pekerja bantuan,” kata ringkasan itu.
Kelmarin, Israel memohon maaf atas kesilapan besar yang dilakukan dalam insiden itu tetapi Pengasas WCK José Andrés berkata, pekerjanya disasarkan secara sistematik.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, John Kirby berkata, kekecewaan Biden terhadap Netanyahu semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu melihatkan bahaya besar yang mengancam penduduk awam dan kakitangan bantuan di Gaza.
Jelasnya, langkah berkesan sudah diambil atas permintaan Biden dan kini usaha itu mesti dilaksanakan sepenuhnya dengan pantas.
Petang semalam, pejabat Netanyahu mengumumkan akan membuka semula lintasan sempadan Erez buat kali pertama sejak 7 Oktober lalu bagi membenarkan bantuan masuk ke utara Semenanjung Gaza.
Israel turut membenarkan bekalan melalui pelabuhan Ashdod dan peningkatan jumlah bantuan dari Jordan yang akan melalui Kerem Shalom.
Pentadbiran Biden berdepan tekanan untuk menangani bantuan ketenteraan tanpa syarat kepada Israel dan kemarahan pengundi Arab Amerika terhadap perang di Gaza yang boleh menjejaskan peluangnya menentang calon Republikan, Donald Trump pada pilihan raya November ini.
Permintaan turut meningkat dari ahli Demokrat untuk meletakkan syarat pada pemindahan senjata kepada Israel.
Senator Delaware dan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat, Chris Coons berkata, beliau akan menyokong undian untuk meletakkan syarat bantuan kepada Israel jika Netanyahu melancarkan serangannya ke atas Rafah dan berterusan menyekat bantuan kemanusiaan kepada orang awam.-AFP/AGENSI










