LONDON: Sebuah firma hartanah mengalami kerugian besar apabila rumah yang dimiliki tidak dapat dijual semula gara-gara gagal mengesan serangan tumbuhan perosak Japanese Knotweed di kediaman itu.
Pengarah House Buy Fast, Jonathan Rolande berkata, firmanya terpaksa menanggung kerugian sebanyak 20,000 pound (RM118,461) untuk menangani tumbuhan invasif itu.
Katanya, masalah itu juga menyebabkan kediaman berharga 56,000 pound (RM331,692) di Aberdare, South Wales gagal untuk kembali berada di pasaran selama lebih empat tahun.
Lapor Daily Mail, rumpun buluh Knotweed Jepun boleh merosakkan struktur dengan memberikan tekanan pada dinding dan pagar, malah menghalang pemilik daripada mendapatkan gadai janji untuk kediaman yang ingin dijual.
Kehadiran tumbuhan tersebut harus diisytiharkan pada borang gadai janji TA6 dan jika pemilik hartanah gagal berbuat demikian, tuntutan untuk ganti rugi oleh pembeli boleh dibuat di mahkamah.
“Dalam kes kami, pemilik rumah terdahulu mendakwa tumbuhan itu tidak ada di hartanah tersebut, malah juru ukur juga gagal mengesannya sedangkan ia sudah menjalar dengan banyak di ruang belakang.
“Akibatnya, pelaburan yang dilakukan gagal membuahkan hasil. Kami tidak dapat menjual semula hartanah ini kepada pelabur atau pembeli dan terpaksa pula menanggung kos yang besar untuk membuang tanaman itu,” kata Rolande.
Rolande berkata, firmanya bercadang menyewakan kediaman itu tetapi perlu mengeluarkan 3,500 pound (RM20,730) untuk rawatan menyingkirkan tumbuhan invasif itu serta tambahan 10,000 pound (RM59,230) untuk faedah modal tambahan.
“Kami juga terpaksa membayar 900 pound (RM5,329) untuk membina bumbung baharu serta kos baik pulih lain sekitar 1,500 pound (RM8,882) bagi menjadikan rumah itu sesuai untuk disewa,” katanya.










