CPJ gesa siasatan bebas serangan Israel sasar wartawan

CPJ gesa siasatan bebas serangan Israel sasar wartawan

SAMI Shehada menerima rawatan di Hospital Al-Awda di utara Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Badan pemerhati media menggesa siasatan bebas dijalankan terhadap serangan Israel ke atas Hospital Syahid Al-Aqsa di Gaza yang mencederakan lapan wartawan.

Laporan menunjukkan serangan dron Israel mengenai perkhemahan di luar hospital berkenaan di Deir Al-Balah yang terletak berhampiran khemah milik agensi berita Turkiye Anadolu, di mana ramai wartawan, jurugambar dan pemberita mencari perlindungan.

Serangan tersebut turut membunuh empat lelaki yang didakwa pejuang Palestin dan mencederakan sembilan orang awam selain merosakkan kamera, komputer riba serta telefon bimbit milik wartawan.

“Serangan Israel pada 31 Mac lalu ke atas pekarangan hospital tempat wartawan berlindung dan bekerja mesti disiasat secara bebas.

“Serangan berterusan ke atas hospital menyekat lagi keupayaan petugas media untuk bekerja dengan selamat,” kata Pengarah Program Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), Carlos Martinez de la Serna di New York City.

Badan Wartawan Palestin di tengah Gaza berkata, keadaan yang semakin buruk di wilayah itu menyebabkan ramai wartawan dan pengamal media mencari perlindungan serta akses kepada elektrik di hospital untuk menghantar bahan berita mengenai keadaan terkini di Gaza.

Tetapi serangan baru-baru ini termasuk kejadian pada 18 Mac lalu di Hospital Al- Syifa yang menyaksikan wartawan Arab Al Jazeera, Ismail Al-Ghoul ditahan hampir 12 jam bersama beberapa rakan sekerja lain menunjukkan bahawa kawasan kemudahan itu tidak lagi selamat untuk kakitangan media. 

Saksi turut melihat tentera rejim Zionis menyerang kumpulan wartawan, memusnahkan khemah dan merosakkan peralatan serta kenderaan mereka dalam kejadian berkenaan.

Kelmarin, tiga lagi wartawan Palestin turut cedera dalam serangan udara Israel ke atas kem pelarian Nuseirat di Gaza.

Wartawan, Sami Shehada dan Sami Barhoum sedang membuat liputan acara untuk saluran Arab TRT, manakala Ahmad Harb menghantar laporan kepada saluran berita Al Arabiya ketika kejadian.

Ketiga-tiga wartawan itu awalnya dibawa ke Hospital Al-Awda di utara tetapi kemudian dipindahkan ke Hospital Shohada Al-Aqsa di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza.

Sami dilaporkan parah dan kehilangan kaki kanannya dalam serangan itu yang dilaporkan sengaja menyasarkan pasukan media.

“Kami berada di tempat yang agak selamat, memakai perisai akhbar dan topi keledar kami. Malah kereta yang dinaiki jelas dilabelkan TV untuk menunjukkan kami orang awam dan wartawan tetapi mereka tetap menyasarkan kami,” kata Sami kepada Arab News.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN