Buli siber sasar wartawan wanita kian meningkat

Buli siber sasar wartawan wanita kian meningkat

BULI siber menyasarkan wartawan wanita semakin meningkat.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUGIA: Wartawan wanita berdepan ancaman buli siber yang lebih besar semasa menjalankan tugas mereka dengan trend itu dilaporkan semakin meningkat tahun ini.

Pengarah Penyelidik Pusat Antarabangsa untuk Wartawan (ICFJ), Julie Posetti berkata, terdapat potensi besar keganasan dalam talian itu bertukar kepada bahaya di luar talian.

“Wanita cenderung menghadapi ancaman yang lebih besar dalam talian. Jenis ancaman yang mereka hadapi juga semakin meningkat,” katanya kepada perwakilan Festival Kewartawanan Antarabangsa Perugia Sabtu lalu.

Tegasnya, persekitaran toksik itu ‘dimudahkan’ oleh gergasi teknologi, menuduh mereka gagal bertanggungjawab atau menyekat kes-kes buli siber serta ancaman berbahaya melibatkan golongan wanita.

Perkara itu dibangkitkan dalam kajian bersama UNESCO/ICFJ pada 2022 yang menemu bual 900 wartawan dari 125 negara.

Menurut kajian itu, hampir tiga perempat daripada wartawan wanita yang ditemu bual mengakui mereka pernah mengalami keganasan atau penderaan dalam talian berkaitan dengan tugas yang dilakukan. 

Serangan dalam talian termasuk penghinaan, ancaman fizikal, komen seksis dan seksual  termasuk ugutan bunuh kepada wartawan serta keluarga mereka.

Serangan yang semakin canggih termasuk menyekat akaun, menggodam, menerbitkan foto peribadi dan mencipta imej seksual palsu tanpa persetujuan mereka.

Ancaman ganas cenderung meningkat apabila digabungkan dengan diskriminasi yang dikaitkan dengan warna kulit, agama atau orientasi seksual.

“Akibatnya, sesetengah wartawan berpotensi menolak membuat liputan topik sensitif dan ada yang memilih untuk keluar dari industri sama sekali,” jelas laporan itu.

Wartawan bebas, Melina Huet yang membuat liputan mengenai perang di Ukraine serta konflik Israel-Hamas berkata, dia kerap mendapat ancaman dalam talian yang berkaitan dengan liputannya.

“Saya menerima ugutan pancung dan rogol di Instagram. Malah, penjenayah boleh mencipta semula akaun dengan mudah tanpa menerima hukuman,” katanya.

Kempen hak media yang berpangkalan di Paris Reporters Without Borders (RSF) turut memberi amaran gangguan buli siber terhadap wartawan wanita membentuk ancaman baharu kepada kebebasan akhbar.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN