WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping mengadakan perbincangan langsung pertama mereka sejak pertemuan pada November lalu, dalam usaha mengelak ketegangan antara dua negara terus meningkat menjelang pelantikan presiden Taiwan bulan depan.
Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata, Biden akan mengesahkan semula sokongan AS terhadap ‘Dasar Satu China’ Beijing dan mengulangi kepentingan keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan.
Biden dan Xi bersetuju pada November lalu untuk membuka semula komunikasi langsung ketenteraan langsung dan bekerjasama mengekang pengeluaran fentanyl.
China menganggap Taiwan, sebuah pulau yang ditadbir sendiri dengan pilihan raya demokratik, sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan baru-baru ini menyebut mengenai ‘penyatuan semula secara aman’ dalam bajetnya.
Taiwan membantah sekeras-kerasnya tuntutan kedaulatan China dan berkata hanya penduduk pulau itu boleh menentukan masa depan mereka.
Naib Presiden Taiwan, Lai Ching-te, yang dianggap Beijing sebagai pemisah, memenangi jawatan Presiden dalam pilihan raya Januari lalu dan Beijing meningkatkan tekanan ke atas wilayah itu menjelang pelantikannya Mei ini.
Biden dan Xi juga turut membincangkan kebimbangan mengenai sokongan China terhadap perang Russia menentang Ukraine, amalan perdagangan ekonominya, pencabulan hak asasi manusia di Xinjiang dan penghapusan nuklear di Semenanjung Korea.
Biden juga memberi amaran kepada Beijing mengenai konfrontasi yang semakin meningkat di Laut China Selatan, kawasan dituntut China yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
“Biden juga mungkin menyatakan kebimbangan terhadap tindakan Beijing yang tidak stabil di Laut China Selatan, termasuk tindakan berbahaya baru-baru ini oleh pengawal pantainya terhadap operasi rutin maritim Filipina”, kata pegawai itu.-REUTERS










