Biden digesa haramkan import EV China

Biden digesa haramkan import EV China

CHINA menguasai pengeluaran kereta terbesar di dunia.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden digesa untuk mengharamkan import kenderaan elektrik (EV) buatan China ke AS.

Pengerusi Jawatankuasa Perbankan Senat, Senator Sherrod Brown yang juga ahli Demokrat dari negeri pengeluar kereta Ohio mendakwa, EV China bakal menjadi ancaman besar kepada industri automobil AS.

Komen tersebut disifatkan paling tegas daripada ahli Parlimen AS mengenai isu tersebut selepas beberapa anggota lain menggesa penguatkuasaan tarif lebih tinggi untuk memastikan EV China tidak menjadi pilihan pengguna di negara itu.

“Kami tidak boleh membenarkan China membawa penipuan yang disokong kerajaannya kepada industri automotif AS,” kata  Brown dalam video di platform media sosial X.

Pada Februari lalu, White House mengumumkan sedang membuka siasatan sama ada kereta China menimbulkan risiko keselamatan selepas Biden berjanji tidak akan membiarkan perkara itu berlaku sepanjang pentadbirannya.

“Washington boleh mengenakan sekatan ekoran kebimbangan teknologi dalam kereta buatan China boleh mengumpul sejumlah besar data sensitif pemandu dan penumpang.

“Kereta yang disambungkan ke internet menggunakan kamera dan penderia untuk merakam maklumat terperinci tentang infrastruktur AS, berinteraksi secara langsung dengan infrastruktur kritikal dan boleh dipandu atau dilumpuhkan dari jauh,” tegas White House.

China ialah pengeluar kereta terbesar di dunia dan kini bersaing dengan Jepun untuk menjadi pengeksport utama kenderaan.

Khamis lalu, kumpulan kesatuan syarikat penerbangan terbesar AS turut meminta pentadbiran Biden menghentikan kelulusan penerbangan baharu dengan China.

Dalam surat kepada Setiausaha Negara, Antony Blinken dan Setiausaha Jabatan Pengangkutan Pete Buttigieg, kumpulan tersebut mendakwa dasar anti-persaingan China meletakkan syarikat penerbangan AS pada kedudukan yang kurang baik.

“Sekiranya pertumbuhan pasaran penerbangan China dibenarkan terus tanpa kawalan dan tanpa kebimbangan terhadap kesamarataan akses dalam pasaran, penerbangan akan terus diserahkan kepada syarikat China dengan mengorbankan pekerja dan perniagaan AS,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN