WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merancang menyekat unit ultra-Ortodoks Angkatan Pertahanan Israel (IDF) atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Tebing Barat.
Keputusan itu menandakan kali pertama AS bersedia mengenakan sekatan ke atas unit dalam tentera Israel dan seterusnya merenggangkan hubungan antara kedua-dua sekutu itu, yang semakin tegang sejak perang Israel di Gaza.
Walaupun pegawai AS enggan mengenal pasti unit yang disekat, pemimpin Israel dan media tempatan mengenal pasti ia sebagai Netzah Yehuda, batalion infantri yang diasaskan kira-kira suku abad lalu bagi mengumpulkan lelaki ultra-Ortodoks ke dalam tentera.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengutuk keputusan itu sebagai tidak adil ketika pasukannya sedang berperang menentang Hamas dan berikrar untuk menentangnya.
“Jika sesiapa berpendapat mereka boleh mengenakan sekatan ke atas satu unit dalam IDF, saya akan melawannya dengan sekuat tenaga,” katanya.
Netzah Yehuda, atau Judea Forever berpusat di Tebing Barat yang diduduki dan beberapa ahlinya dikaitkan dengan penderaan terhadap rakyat Palestin.
Pada akhir 2022, Jabatan Negara AS mengarahkan kakitangan kedutaan di Israel untuk menyiasat dakwaan penderaan di Tebing Barat oleh batalion tersebut termasuk insiden seorang warga Amerika Palestin berusia 78 tahun yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas ditahan.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, beliau akan mendedahkan hasil siasatan menggunakan Undang-undang Leahy, yang melarang bantuan ketenteraan kepada pasukan keselamatan asing yang melanggar hak asasi manusia.
Laman web Axios, memetik tiga sumber AS yang mengetahui perkara itu melaporkan, Blinken dijangka mengumumkan sekatan terhadap batalion itu yang turut melarang unit itu daripada menerima sebarang bantuan atau latihan ketenteraan AS.
Dalam satu kenyataan, IDF berkata, tentera Netzah Yehuda sedang mengambil bahagian dalam usaha perang di Semenanjung Gaza.
“Batalion ini secara profesional dan berani menjalankan operasi mengikut Kod Etika IDF dan dengan komitmen penuh terhadap undang-undang antarabangsa. Jika unit itu disekat, kesannya terhadap pasukan kami perlu dikaji semula,” katanya.-REUTERS/AFP










