KYIV: Ukraine mendakwa pasukan tenteranya berjaya memusnahkan sebuah kapal peronda tentera Russia di Laut Hitam berhampiran Semenanjung Crimea.
Laluan air yang strategik itu menjadi medan pertempuran yang semakin penting apabila pasukan tentera Ukraine mendakwa melancarkan beberapa serangan menyasarkan armada Moscow.
Jurucakap perisikan tentera Ukraine, Andriy Yusov berkata, kapal itu pernah diserang sebelum ini namun kini musnah selepas serangan dron maritim semalaman.
“Berhubung anak kapal, beberapa maklumatnya sedang diteliti. Ada yang terbunuh dan cedera tetapi berkemungkinan beberapa kru berjaya melepaskan diri,” katanya.
Setakat ini, tiada sebarang maklum balas rasmi daripada Kementerian Pertahanan Russia.
Terdahulu, perisikan tentera Ukraine memaklumkan beberapa dron melanda kapal berhampiran Selat Kerch sehingga menyebabkan kerosakan pada beberapa bahagian kapal dan pelabuhan.
Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak menyifatkan Armada Laut Hitam Russia sebagai `simbol penjajahan’ dan menegaskan tidak seharusnya berada di Crimea Ukraine.
Sebelum ini, tentera udara Ukraine menyatakan pasukanya menembak jatuh 18 daripada 22 dron buatan Iran yang dilancarkan Russia di bandar Odesa. – AFP










