NEW DELHI: Video gelagat lucu seorang lelaki India menggunakan batang penyapu untuk bermain badminton tular di media sosial baru-baru ini.
Video itu dikongsi minggu lalu oleh Jatin Sharma yang juga dikenali sebagai ‘Pencinta Badminton’ di laman Instagram.
Dalam klip pendek itu, seorang lelaki dan seorang wanita dilihat sedang bermain badminton seperti biasa menggunakan raket.
Beberapa saat kemudian, seorang lelaki lain yang sedang menyapu sampah memasuki gelanggang dan mengganggu permainan mereka sebelum meminta wanita itu beredar.
Dia kemudian menayangkan kebolehan luar biasanya memukul bulu tangkis menggunakan batang penyapu yang dipegang dan menyambung permainan selama beberapa saat.
Lelaki itu berjaya menyambut setiap pukulan bulu tangkis yang dihantar kepadanya sebelum akhirnya menjaringkan satu mata menjelang penghujung klip.
Sejak dimuat naik, klip video itu yang turut tertera ungkapan popular ‘Jangan menilai buku pada kulitnya’ berjaya mengumpul lebih 3.5 juta tontonan dan 1.9 juta tanda suka.
Lapor NDTV, ramai pengguna media sosial yang mengakui terhibur dengan aksi bersahaja lelaki itu dan mengagumi kemahirannya sementara ada juga yang marah kerana menganggap dia cuba mempersendakan permainan badminton.










