MOSCOW: Roket Soyuz Russia yang membawa angkasawan dari tiga negara selamat mendarat di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas berjaya dilancarkan Isnin lalu.
Kapal angkasa Soyuz MS-25 membawa angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), Tracy Dyson; angkasawan Russia, Oleg Novitsky dan Marina Vasilevskaya dari Belarus dilancarkan dari kemudahan Baikonur yang dipajak Russia di Kazakhstan.
Kapsul angkasa lepas di atas roket itu terpisah dan menuju ke orbit lapan minit selepas pelancarannya sebelum memulakan perjalanan dua hari mengelilingi 34 orbit ke ISS.
Tiga angkasawan itu akan menyertai krew NASA iaitu Loral O’Hara, Matthew Dominick, Mike Barratt, dan Jeanette Epps serta tiga lagi warga Russia, Oleg Kononenko, Nikolai Chub, dan Alexander Grebenkin yang kini berada di ISS.
Novitsky, Vasilevskaya dan O’Hara dijadualkan akan kembali ke bumi pada 6 April ini.
Menurut Ketua Agensi Angkasa Russia, Yuri Borisov, pelancaran itu awalnya dirancang Khamis lalu, tetapi terpaksa dihentikan oleh sistem keselamatan automatik kira-kira 20 saat sebelum berlepas akibat isu penurunan voltan dalam sumber kuasanya.
Stesen angkasa lepas yang berkhidmat sebagai simbol kerjasama antarabangsa pasca Perang Dingin, kini merupakan satu daripada kawasan terakhir kerjasama antara Russia dan Barat di tengah-tengah ketegangan akibat pencerobohan ke atas Ukraine.
NASA dan rakan kongsinya berharap untuk terus mengendalikan pos mengorbit sehingga 2030.
Russia kini masih bergantung kepada roket versi diubah suai rekaan Soviet untuk satelit komersial, serta kru dan kargo ke stesen angkasa.-AGENSI










