EDINBURG: Seorang selebriti psikik dilaporkan membeli sebuah anak patung menyerupai kanak-kanak namun ia dianggap menyeramkan selepas didakwa matanya bergerak mengikut gerak geri manusia.
Lapor Sky News, Deborah Davies membeli anak patung dikenali sebagai `Annabelle’ dari kedai amal St Columba’s Hospice di Morningside, Edinburgh.
Bintang Unexplained: Caught on Camera itu memberitahu Annabelle merupakan antara patung terbaharu dalam 60 koleksi anak patung berhantu miliknya.
Davies membayar sebanyak 220 pound (RM1,318) untuk mainan itu, termasuk kos penghantaran dari kedai ke rumahnya di Cheshire.
“Saya akan memasang kamera CCTV dan memantaunya sepanjang masa, buat masa ini saya terpaksa menyimpan anak patung itu di rumah saya.
“Biasanya, saya menyimpan semua koleksi anak patung demikian jauh dari rumah kerana kebanyakannya dihantar oleh pengikut berikutan aktiviti poltergeist yang serius,” kata pelakon program Real Housewives of Cheshire itu.
Gambar Annabelle menjadi tular di media sosial selepas anak patung itu berserta nota tertera `saya tidak menakutkan’ dipamerkan di kedai amal itu.
Sementara itu, pengurus kedai amal, Simone Varga berkata, seorang sukarelawan mendermakan anak patung itu ketika dia berpindah dari Edinburgh.
Kata Varga, dia terkejut melihat muka anak patung itu yang kelihatan seperti `bernyawa’ selepas membuka kotak diberikan oleh sukarelawan berkenaan.
“Apabila saya mengeluarkan Annabelle dan melihat semua bahagian anak patung itu, ia kelihatan seperti kaki manusia.
“Anak patung itu memakai kasut kecil yang agak menyeramkan dan ada serpihan putih pada kukunya.
“Mainan itu menjadi tular selepas seseorang mendakwa mata anak patung bergerak mengikut gerak geri apabila individu itu berjalan,” katanya.










